fbpx

Saham Zahirah MacWilson masih ada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAHIRAH MACWILSON

WANITA jelita dengan nama pentas Zahira MacWilson itu mula mengorak langkah sebagai pelakon aksi dalam filem televisyen berjudul Bulan dan Pria Terhebat yang ditayangkan semula secara eksklusif menerusi Astro First 11 Mac lalu.

Menyifatkan kepercayaan tersebut sebagai satu peluang keemasan yang tidak mahu dibazirkan, Zahirah atau nama lengkapnya, Nur Zahirah MacWilson Zainol, 26, berharap penglibatannya dalam karya garapan sutradara Ghaz Abu Bakar tersebut membuka mata industri tentang kemampuan menjayakan lebih banyak lakonan aksi selepas ini.

Berlakon di samping nama-nama besar seperti Maya Karin, Zizan Razak dan Khir Rahman, ibu kepada Isaac Raees itu memaklumkan kepada HibGlam bahawa dia berasa cukup bertuah atas peluang tersebut.

Watak utama bernama Bulan dalam filem yang diterbitkan oleh Nik Iruwan dan Sein Qudsi tersebut sebuah pencapaian peribadi yang amat bermakna buatnya.

WATAK Bulan bukan sekadar aksi pelaris, sebaliknya diangkat sebagai hero bagi memperkasakan unsur feminisme, bahkan mungkin sejenis ‘femme fatale’ di mata seorang pengarah bernama Ghaz Abu Bakar.

Lebih ‘aksi’ selepas ini

Kata Zahirah, untuk menjayakan watak Bulan, dia banyak mengambil inspirasi dan aspirasi daripada pelakon-pelakon wanita antarabangsa yang terkenal dengan babak-babak aksi.

“Berlakon dalam filem aksi macam satu mimpi jadi kenyataan buat saya. Saya memang sudah lama ingin lari daripada klise sebagai watak yang pernah dilakonkan sebelum ini.

“Bercakap tentang inspirasi dan aspirasi melakonkan watak Bulan. Saya buat rujukan terhadap persembahan pelakon seperti Angelina Jolie, Scarlett Johansson, Charlize Theron dalam Atomic Blonde. Begitu juga dengan Jennifer Garner.

BAGAI bulan jatuh ke riba. Itu yang disifatkan Zahirah tentang keterujaan dan betapa bermaknanya watak Bulan dalam filem terbaharunya, Bulan dan Pria Terhebat.

“Masih ada ruang untuk terus perbaiki diri, namun saya sangat gembira dengan hasil akhir filem ini. Harapnya ini menjadi titik mula untuk lebih ramai pelakon wanita Malaysia membawa watak aksi yang diangkat sebagai hero filem,” kata Zahira yang masih berada di Perth Australia sejak Oktober tahun lalu.

Di Perth, Zahirah bersama suami, Aiman Hakim Ridza bagi urusan kelahiran cahaya mata sulung mereka, Isaac yang kini memasuki usia tiga bulan.

ZAHIRAH berharap watak Bulan lakonannya menerusi filem Bulan dan Pria Terhebat menjadi satu penanda aras bahawa dia juga seorang pelakon yang mampu mempersembahkan lakonan aksi dengan sebaik mungkin. – IHSAN GHAZ ABU BAKAR

Balik Malaysia

Diajak berbicara tentang perancangan untuk kembali ligat dalam dunia lakonan, Zahira sebenarnya merancang untuk pulang ke tanah air berkemungkinan sekitar April nanti.

Bagaimanapun, dia hanya akan mula mengambil tawaran kerja dalam tempoh dua hingga tiga bulan dari sekarang. Dia harus mempersiapkan mental dan fizikal termasuk memastikan si kecil sudah bersedia menempuh waktu-waktu tanpa berkepit dengan si ibu sepanjang masa.

“Sekarang masih di Perth. Aiman pun rasa sudah terlalu lama duduk di negara orang. Kalau tiada aral melintang, bulan hadapan kami pulang ke Malaysia. Aiman mungkin boleh mula kerja dulu.

“Saya mungkin lewat sedikit kerana nak tunggu anak besar sikit dan cari penjaga yang sesuai. Selain itu, saya juga ingin dapatkan bentuk badan dahulu semula. Nak dapatkan balik rentak.

“Kalau tanya saya sudah bersedia atau belum untuk ligat semula, sebenarnya sudah bersedia, tetapi perihal-perihal nak bersedia bagi orang lain ‘jaga’ anak sewaktu kita sibuk bekerja, itu yang saya gusarkan,” luahnya.

Berbicara tentang peranan menjadi seorang ibu, Zahirah memaklumkan, tidak banyak perkara yang berubah, namun dia bersyukur kerana dikurniakan sistem sokongan yang kuat untuk terus mendepani hidup mendatang.

“Isaac sihat walafiat. Dia sedang tidur sekarang,” ujar Zahira ketika ditemu bual HibGlam secara maya bagi mempromosikan filem Bulan dan Pria Terhebat baru-baru ini.

ZAHIRAH percaya status sebagai ibu tidak akan menyekat kecintaannya melakukan apa yang disukai dalam hidup iaitu lakonan.

Kemanisan

Dari segi peluang dan ruang untuk terus berkecimpung dalam dunia lakonan, Zahira percaya status ibu tidak mendatangkan masalah buat dirinya.

Mengulas persoalan sama ada sudah kehilangan ‘saham’ apabila sudah bergelar isteri dan sekarang bergelar ibu, jawabnya: “Kalau orang cakap selepas kahwin sudah tak laku, saya rasa, itu tidak betul langsung.

“Pada masa sama, saya ingin membuktikan kepada orang ramai walaupun sudah jadi seorang ibu, anda boleh terus buat perkara yang disukai. Untuk saya, hal itu menerusi seni lakonan.”

Diajak berkongsi sedikit perkembangan anak sulungnya, Zahira berkata, puteranya itu sekarang sudah pandai buat ‘bising’.

“Mulut dia sudah pandai bising sikit. Nak kata saya terlalu sibuk dengan tugas sebagai ibu, taklah sangat.

“Malah saya rasa macam usia baru 23 tahun. Rasa seronok dapat jadi ibu pada usia yang muda,” tutupnya.

ZAHIRAH dan Aiman merancang untuk pulang ke tanah air sekitar April nanti. Sebelum kembali bekerja, soal penjagaan anak kecilnya, Isaac menjadi perkara utama yang bersarang di jiwa
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI