MOSCOW – Seorang wanita yang popular dengan jolokan ‘Rapunzel Rusia’ tidak pernah memotong rambut sejak 17 tahun lalu ketika di usia remaja manakala rambutnya kini sepanjang 1.72 meter, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Wanita tersebut, Daira Gubanova, 34, berasal dari bandar Barnaul, Rusia. Semasa remaja, dia dicabar rakannya supaya menyimpan rambut yang sangat panjang kerana tidak yakin Gubanova mampu berbuat demikian.
Rambut Gubanova menjadi sensasi internet dan dia mempunyai 184,000 pengikut di akaun Instagramnya.
Kata Gubanova, lelaki akan sentiasa memuji rambut perangnya yang cantik itu namun respons daripada wanita adakalanya negatif.
“Lelaki sukakan rambut saya, wanita pula tidak faham bagaimana saya menguruskan rambut panjang,” katanya.
Tambahnya, sejak kecil, dia sememangnya memiliki rambut yang panjang dan ketika berusia 14 tahun, panjang rambut Gubanova mencecah paras lutut.
Gubanova kemudian memotong pendek rambutnya sehinggalah dia dicabar oleh rakannya yang memberitahu bahawa Gubanova tidak akan berjaya menyimpan rambut panjang seperti rambut rakannya.
“Rakan saya berkata dia tidak yakin saya mampu membiarkan rambut saya sepanjang rambutnya
“Saya menerima cabarannya dan menyimpan rambut yang lebih panjang. Anak perempuan saya, Evelina turut menyimpan rambut panjang,” kata Gubanov
Bagi memastikan rambutnya sentiasa cantik dan sihat, Gubanova mengikut rutin penjagaan rambut yang ketat termasuk mencucinya dua kali seminggu dan menyuburkan kulit kepala menggunakan masker rambut. – Agensi