PADA 3 Mac lalu, seorang lelaki warga Korea Utara bernama Mun Chol-myong telah gagal dalam rayuan terakhir di sebuah mahkamah tinggi di negara ini untuk menentang perintah ekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) bagi berdepan dengan dakwaan pengubahan wang haram.
Dia telah menetap di Malaysia selama lebih sedekad bersama keluarganya ditahan pada 2019 susulan permintaan ekstradisi oleh Washington.
Agensi berita AFP melaporkan ketika di mahkamah, lelaki itu telah menafikan dakwaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bahawa dia mengetuai sebuah kumpulan penjenayah yang melanggar sekatan antarabangsa dengan membekalkan barangan terlarang ke Korea Utara dan mengubah dana haram melalui beberapa syarikat pangkalan hadapan.
Dia juga menolak tuduhan itu dan mengatakan bahawa dakwaan itu bermotifkan politik.
Susulan daripada itu, pada Jumaat lalu, Korea Utara telah mengumumkan bahawa negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas Kuala Lumpur mengambil keputusan mengekstradisi lelaki tersebut ke AS.
Kementerian Luar Korea Utara dalam satu kenyataan menyatakan, pada 17 Mac lalu, pihak berkuasa Malaysia melakukan jenayah yang tidak boleh diampunkan kerana secara paksa menghantar rakyat Korea Utara yang tidak bersalah ke AS.
“Justeru, kami mengumumkan memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia,” jelasnya.
Kenyataan sama menyebut, individu tersebut sebagai seseorang yang terlibat dalam aktiviti perdagangan luar secara sah di Singapura dan menegaskan bahawa tuduhan dia terlibat dalam pengubahan wang haram sengaja diada-adakan.
Sehubungan dengan keputusan tersebut, Malaysia juga telah mengeluarkan perintah bagi kakitangan diplomatik Korea Utara dan keluarga mereka supaya meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan berkata, tindakan Malaysia mengusir kesemua diplomat Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur dilaksanakan selaras dengan Artikel 9 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.
“Kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan ini sebagai tindak balas terhadap keputusan unilateral dan sama sekali tidak bertanggungjawab oleh Korea Utara pada 19 Mac untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.
“Tindakan Kerajaan Malaysia ini adalah perlu bagi melindungi kedaulatan Malaysia dan mempertahankan kepentingannya. Tindakan ini akan menjadi peringatan bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang cubaan untuk mencampuri urusan dalaman dan sistem kehakimannya, mencemarkan sistem tadbir urus dan sentiasa ingin mewujudkan ketegangan dengan melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.
Seramai 33 pegawai diplomatik dan ahli keluarga Kedutaan Korea Utara di ibu negara telah meninggalkan Malaysia pada Ahad lalu dengan menaiki pesawat komersial Shanghai Airlines ke Pudong, China.
Dalam pada itu, sebelum meninggalkan Malaysia, Kaunselor Kedutaan Korea Utara, Kim Yu Song menegaskan, Malaysia akan menerima akibat daripada tindakan tersebut.
“Insiden ini telah menjejaskan kedaulatan negara kami. Kejadian ini adalah satu konspirasi anti-Korea Utara yang dilakukan AS,” katanya.
Dalam pada itu, agensi berita The New York Times melaporkan, Chol-myong adalah rakyat Korea Utara pertama yang diekstradisi ke AS untuk menghadapi perbicaraan jenayah.
Ekstradisi beliau adalah sebahagian daripada usaha Washington untuk menindak apa yang digambarkannya sebagai kegiatan yang melarang pencegahan sekatan oleh peniaga dan diplomat Korea Utara.
Selama bertahun-tahun, Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengenakan sekatan semakin ketat terhadap Korea Utara.
Ini menghalang akses negara itu terhadap mata wang asing yang digunakannya untuk membiayai program nuklear dan peluru berpandu balistiknya.
Korea Utara menegaskan AS adalah pelaku utama dalam usaha menekstradisi Chol-myong dan mereka menegaskan bahawa Washington perlu ‘membayar harga yang harus dibayar’.
Keputusan itu dibuat setelah Korea Utara tidak memberi sebarang respons terhadap usaha pentadbiran AS yang baharu di bawah Presiden Joe Biden untuk mewujudkan saluran komunikasi bagi merundingkan pemberhentian program senjata nuklear Pyongyang yang sedang berkembang.
Dalam pada itu, hubungan antara Korea Utara dan Malaysia sudah hambar setelah Kim Jong-nam iaitu abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Februari 2017.
Dua wanita yang dikatakan diupah oleh ejen dari Pyongyang telah melumurkan wajahnya dengan racun agen saraf VX.
Korea Utara menafikan pembabitan mereka dalam pembunuhan tersebut dan negara itu menentang keras bedah siasat yang dilakukan tanpa kebenaran mereka.
Selepas kejadian tersebut, kedua-dua negara saling bertelingkah dan duta negara itu telah diusir kerana memberi kenyataan yang provokatif.
Malaysia juga telah menghentikan operasi kedutaan di Pyongyang ditangguhkan dan kakitangan diplomatik Malaysia telah dipanggil pulang ke tanah air pada tahun yang sama.
Pemutusan hubungan antara Korea Utara dengan Malaysia akan meningkatkan lagi pengasingan diplomatik negara itu.
Setelah Korea Utara melakukan ujian nuklear keenam dan terakhir pada tahun 2017 yang bertentangan dengan resolusi PBB, beberapa negara termasuk Mexico, Sepanyol dan Kuwait telah mengusir duta besar Korea Utara di negara masing-masing.
Para diplomat Korea Utara juga telah meninggalkan jawatan mereka di luar negara dalam beberapa tahun terakhir ini.
Thae Yong-ho yang merupakan seorang menteri di Kedutaan Korea Utara di London telah berpindah ke Seoul, Korea Selatan pada tahun 2016 bersama isteri dan dua orang anak lelakinya.
Selain itu, Jo Song-gil, seorang diplomat kanan Korea Utara yang dilaporkan hilang di Itali pada 2018 juga telah ditemui berada di Seoul.
Begitu juga dengan Ryu Kyeon-woo yang merupakan diplomat kanan Korea Utara di Kuwait melepaskan jawatannya pada 2019 dan mengambil keputusan untuk menetap di Korea Selatan.
Dalam pada itu, walaupun Korea Utara terkenal sebagai sebuah negara yang sangat tertutup, Pyongyang masih mempertahankan hubungan diplomatik dengan 164 negara lain.
Daripada jumlah itu sebanyak 25 negara mempunyai kedutaan di ibu kota Pyongyang.
Ketua Pusat Kajian Strategik dan Pertahanan Universiti Nasional Australia, John Blaxland menjelaskan, para diplomatik di Korea Utara menjalankan kerja tidak seperti di negara lain.
Menurutnya, sangat sedikit peluang bagi para diplomat asing untuk terlibat secara konstruktif dengan rakan sejawatnya di negara tersebut.
“Diplomat sangat diawasi dan dikawal oleh polis sehingga menjadikannya sebagai satu kesulitan yang amat besar untuk mereka menjalankan tugas penting,” katanya.