JOHOR BAHRU – Pertubuhan Ihsan Johor puas dapat membantu kira-kira seramai 5,200 keluarga di Semporna, Sabah yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pada minggu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Farrah Faridah Baptist berkata, dalam misi kemanusiaan selama lapan hari itu, pihaknya membelanjakan kira-kira RM70,000 hasil sumbangan dan derma pelbagai pihak.
Katanya, antara kawasan yang dilawati Kampung Bentayan, Sekolah Kebangsaan (SK) Simunul, Pulau Sibuan, Pulau Selakan, Pulau Tatagan, Pulau Maiga dan Pulau Mabul.
“Antara sumbangan yang kita berikan ialah bakul makanan iaitu beras, ikan kering, ikan bilis, bihun, mi segera, kopi, roti dan sebagainya.
“Kita juga turut memberi sumbangan susu tepung pelbagai jenama bagi bayi yang baru lahir hingga berusia enam tahun dan juga susu tepung untuk warga tua.
“Di SK Simunul pula, kita memberi sumbangan berupa meja belajar sebanyak 40 unit selain sedekahkan 1,000 buku Yasin di Masjid Kampung Bentayan,” katanya kepada pemberita hari ini. -K! ONLINE.