GEORGE TOWN – Cubaan seorang pemilik gudang untuk memujuk anggota polis dengan menawarkan rasuah RM10,000 agar tidak menahannya atas kesalahan memiliki rokok tanpa cukai gagal apabila dia ditahan semasa serbuan di sebuah gudang di Kampung Jawi, Nibong Tebal dekat sini semalam.
Komander Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan bersama 940 karton rokok tanpa cukai bernilai RM264,750 yang dipercayai disimpannya semasa operasi kira-kira pukul 8.30 malam.
Katanya, terdahulu, pasukan polis marin menahan seorang wanita berusia berusia 23 tahun dipercayai ahli sindiket di kawasan perumahan Sri Aman, Sungai Jawi, Nibong Tebal kira-kira pukul 6 .30 petang.
“Sepasukan anggota Unit Risikan Pasukan Polis Marin Pulau Pinang telah menjalankan pemerhatian ke atas sebuah kereta jenis Perodua Axia yang menjadi tempat penyimpanan rokok tidak bercukai di Taman Sri Aman, Sungai Jawi.
“Wanita berkenaan ditahan ketika menuju ke kereta dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan lanjut menjumpai 19 karton rokok tidak bercukai disimpan di tempat duduk belakang kereta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Rosman berkata, tangkapan ke atas suspek lelaki dibuat semasa serbuan di gudang yang terletak di dalam kawasan kebun koko dan pihaknya menjumpai beberapa kotak dan guni mengandungi rokok disyaki tidak bercukai.
“Selepas 30 minit, seorang lelaki berusia 40 tahun datang dan mengaku dia adalah pemilik gudang tersebut.
“Lelaki tersebut berulang kali menawarkan sogokan bernilai RM10,000 sebagai ganjaran agar polis tidak mengambil tindakan ke atasnya, namun cubaannya gagal,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE