PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Guru, Jalan Gambang, Kuantan, Pahang bermula esok.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu.
Tambah Ismail Sabri, PKPD yang dilaksanakan sehingga 9 April depan juga dibuat selepas kadar kebolehjangkitan dalam komuniti di lokaliti itu juga adalah tinggi.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 178 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 63 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan, PKPD juga turut dilaksanakan di Kampung Batu
Gong dan Kampung Chupak, Daerah Kecil Siburan, Sarawak.
Beliau berkata, KKM telah mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di kedua-dua lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.
“Sehingga semalam, sejumlah 50 kes positif Covid-19 telah dilaporkan di Kampung Batu Gong.
“Manakala 338 ujian saringan juga telah dilakukan di Kampung Chupak dan daripada jumlah itu sebanyak 57 kes positif telah direkodkan, 41 didapati negatif serta 240 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” ujarnya. – K! ONLINE