PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil keputusan melanjutkan pengecualian bagi tujuan pembaharuan Lesen Memandu (LM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) Persendirian berkuat kuasa mulai 1 April hingga 31 Mei depan.
Keputusan itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan yang masih dilaksanakan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, para pemandu hendaklah memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan kepada anggota penguat kuasa trafik sekiranya diminta.
“Individu yang LM dan LKM mereka telah tamat tempoh antara tarikh 1 Februari sehingga 31 Mac lalu hendaklah memperbaharui lesen masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 April sehingga 31 Mei depan.
“Sekiranya gagal berbuat demikian, ia akan menjadi satu kesalahan dan tindakan yang berkaitan boleh dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, individu yang LM dan LKM mereka tamat tempoh pada mana-mana tarikh antara 1 April sehingga 31 Mei ini hendaklah memperbaharui lesen masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 Jun sehingga 31 Julai depan.
Sementara itu, Ka Siong berkata, pengecualian itu tidak diberikan kepada pemilik Kenderaan Perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional (GDL dan PSV) kerana perkhidmatan pembaharuan yang berkaitan mereka dibenarkan di bawah Jadual Perkhidmatan Perlu.
“Sebagaimana objektif pengecualian itu diperkenalkan pada peringkat awal pada Mac tahun lalu, ianya bertujuan mengelakkan kesesakan di tempat awam serta memastikan usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 dapat berjalan dengan baik.
“Justeru itu, tempoh sehingga 60 hari diberikan agar orang ramai mempunyai lebih banyak masa dan ruang serta kelonggaran untuk memperbaharui lesen masing-masing,” katanya.
Katanya, pembaharuan untuk perkhidmatan itu boleh dilakukan di semua kaunter atau pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat, PAD, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh PKP.
“Semua pusat pemeriksaan kenderaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor juga adalah beroperasi bagi tujuan menyediakan perkhidmatan berkaitan pembaharuan ini.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjadi pemandu berhemah dan mematuhi segala SOP yang ditetapkan MKN sepanjang tempoh pelaksanaan PKP,” katanya.