Oleh AINAL MARHATON ABD. GHANI
KUANTAN – Johan Qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang Tahun 1442H/2021M, Norhanani Ayob, 26, menyifatkan kemenangan itu sebagai rezeki anak apabila beliau kini sedang hamil enam bulan.
Dia yang merupakan johan menunggu dari Bentong mengakui seni bacaannya sedikit mencabar kerana keadaannya yang sedang hamil, namun berusaha mengatur bacaannya supaya dapat disesuaikan dengan pernafasan dan kemampuannya.
“Saya cuba menyesuaikan harkat bacaan dengan pernafasan saya yang sedikit pendek kerana sedang hamil,” katanya yang memperoleh 86.50 markah.
Dia yang juga seorang guru mengaji akan berusaha memperbaiki kelemahan bacaannya sebagai persediaan mewakili Pahang dalam tilawah peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 13-18 Jun 2021 depan di Kuala Lumpur.
Pemenang tempat kedua Siti Esah Ab Ghani dari Bentong memperoleh markah 81.50 dan tempat ketiga Siti Patimah Selaman dari Muadzam Shah (80.50 markah).
Sementara itu, qari dari Maran, Huzaifah Abdul Sukir, 32, mengakui terkejut sebaik sahaja diumumkan sebagai johan qari kerana pernah kecundang pada tilawah al-Quran tahun lalu.
“Saya memang tidak menjangkakan sebarang kemenangan kerana pada tilawah tahun lalu saya hanya mendapat saguhati sahaja,” katanya yang memperoleh 85 markah.
Kedua-dua qari dan qariah membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, piala pusingan, hadiah iringan dan sijil penyertaan. K! ONLINE.