KEMAMAN – Maritim Malaysia (APMM) meminta bantuan pihak berkuasa Vietnam dan Indonesia untuk mengesan bot nelayan tempatan membawa enam pemancing yang dilaporkan terputus hubungan sejak kelmarin.
Komander Zon Maritim Kemaman, Rashidilhadi Abd Rashid berkata, ia bagi memudahkan usaha pencarian sekiranya bot tersebut hanyut ke perairan negara jiran tersebut.
“Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim) di Putrajaya telah memaklumkan kepada semua agensi menyelamat negara jiran iaitu Vietnam dan Indonesia dengan mengeluarkan ‘notice to mariner’ berkenaan kehilangan bot nelayan tempatan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Rashidilhadi berkata, bagaimana pun pihaknya percaya bot tersebut masih berada di perairan negara dan tidak menolak kemungkinan bot tersebut hanyut ke utara Pulau Tioman.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga hari ini akan diteruskan dengan melibatkan dua aset laut iaitu KM Gemia dan KM Pekan serta dua pesawat udara iaitu AS365N3 Dauphin daripada Stesen Udara Maritim Subang dan pesawat AW189 dari Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berpangkalan di Subang.
“Usaha pencarian akan diteruskan dan mungkin akan ada pertambahan aset lain yang mana keluasan sektor pencarian akan ditambah menuju ke selatan iaitu berhampiran Rompin dan utara Pulau Tioman,” katanya.
Rashidilhadi berkata, operasi hari kedua semalam masih belum menemui sebarang petunjuk dan berdepan kesukaran berikutan kekangan cuaca buruk yang menyebabkan jarak penglihatan terhad.
Bot yang membawa enam pemancing termasuk seorang tekong itu sepatutnya pulang pada petang Selasa lalu setelah dua hari berada di tengah laut namun gagal dihubungi ahli keluarga dan dikhuatiri mengalami kerosakan enjin ketika berada di perairan. – K! ONLINE.