PETALING JAYA – Perkongsian ‘aneh’ pelakon dan juga penyanyi Nonny Nadirah dalam Instagramnya turut mendapat perhatian rakan baiknya yang juga penyanyi, Mila Jirin.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, penyanyi yang kini bergelar usahawan itu turut memaklumkan bahawa Nonny sendiri mengakui video wanita seksi yang diperkatakan ialah dirinya.
“Aku 100 peratus percaya itu bukan kau. Aku cakap pada diri, Instagram kau kena godam. Tapi bila kau cakap itu adalah kau, luluh hati aku. Sedih, sangat sedih. Aku rasa macam nak ke Sabah semalam juga jumpa kau dan dengar apa masalah kau,” tulis Mila.
Dengan perasaan sedih, bekas juara program Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu turut meninggalkan kata-kata nukilan buat sahabat baiknya itu.
“Nukilan buat sahabatku Nonny Nadirah. Semalam aku menggigil lihat Instagram kau. Aku telefon kau, alhamdulillah dapat bercakap sekejap. Aku sangat sedih. Sedih kenapa aku tak boleh ada tepi (dekat) untuk dengan semua keluh kesah kau.
“Non (panggilan Nonny), aku mohon jangan buat perkara-perkara yang bercanggah dengan perintah Allah SWT. Non aku mohon, jangan sia-siakan hidayah yang dihadiahkan oleh Allah SWT. Non aku mohon lawan godaan syaitan! Ramai yang sayangkanmu Non,” ujar Mila dalam Instagramnya.
Menerusi hantaran tersebut, Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin turut berkongsi momen ketika dia bersama Nonny berada di kota suci Mekah dan Madinah suatu ketika dahulu.
“Nonny Nadirah ingat tak waktu kita di Mekah dan Madinah? Non, kau adalah seorang yang sangat baik! Bila berpeluang rapat denganmu (sangat-sangat rapat) hingga kita ke Mekah dan Madinah sama-sama menunaikan Umrah.
“Kau peluk aku dan menangis waktu kita habis ibadah Umrah atas Bukit Marwah. Kau peluk aku kuat dan menangis sambil ucapkan terima kasih bawa kau ke tanah suci. Aku puji kau nampak cantik bertudung, aku mohon pada Allah SWT agar kau kekal bertudung.
“Alhamdulillah bila kau buat keputusan nak berhijrah selepas pulang daripada umrah, aku antara hamba Allah SWT yang paling seronok,” katanya.
Dalam hantaran itu juga, Mila turut memohon supaya Nonny tidak berubah ke arah kehidupan lagha dan penuh sia-sia.
“Ramai sayangkan kau, Allah SWT sayang kau,” ujarnya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan Nonny atau nama sebenarnya Nonny Nadirah Zainuddin, 31, telah menimbulkan tanda tanya tentang penampilan terbaharunya selepas naik video berdurasi 48 saat seorang wanita berbaju putih berpenampilan seksi dan mengenakan stokin jaring.
Bagaimanapun wajah wanita misteri itu ditutup dengan alat pelindung muka. – K! ONLINE.