MANAMA, Bahrain – Pelumba muda sensasi pasukan Haas, Mick Schumacher mengakui cukup tenang dalam mengharungi perlumbaan debut Formula Satu (F1) pertama dalam kariernya menjelang aksi pembukaan Grand Prix (GP) Bahrain minggu ini.
Sebagai rekod, Mick mendapat perhatian sensasi daripada seluruh peminat kejohanan perlumbaan No. 1 dunia itu memandangkan statusnya selaku kepada anak legenda F1 yang juga bekas juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher.
Kata Mick, legasi yang ditinggalkan oleh ayahnya bukan sesuatu yang membebankan dalam usaha memberikan yang terbaik buat pasukan, malah menjadi pembakar semangat untuk dia memberikan persembahan yang terbaik seperti mana dilakukan Michael.
“Saya cukup berbangga dapat menghidupkan kembali nama Schumacher dalam arena F1 pada musim ini. Ia memberikan motivasi tambahan agar saya boleh memberikan saingan kompetitif seperti yang diharapkan.
“Jika ditanya sama ada saya tertekan, ia adalah tanggapan yang salah kerana saya bukanlah baru dalam arena ini dan telah berlumba sejak kecil lagi dan sukan ini sudah sebati dengan jiwa saya.
“Namun, saya akui saingan F1 adalah berbeza dengan apa yang pernah saya harungi sebelum ini dan saya perlu berikan yang terbaik dan kekal fokus pada setiap perlumbaan. Apa yang pasti, setiap perlumbaan debut adalah cukup istimewa buat mana-mana pelumba dan saya tidak mahu detik ini dibuang dengan sia-sia,” katanya
Mengulas lanjut, Mick yang kini berusia 22 tahun turut mengesahkan bakal meneruskan legasi Michael dengan menggunakan akronim ‘MCH’ pada jentera seperti milik bapanya berbanding ‘SCH’ yang telah dicadangkan oleh pasukan. – AGENSI