Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA
KUANTAN – Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 257 orang berbanding 114 orang yang direkodkan semalam.
Menurut Portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga pukul 2.30 petang ini kesemua mangsa banjir di daerah ini ditempatkan di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“PPS Balairaya Kampung Tiram di sini menempatkan paling ramai mangsa iaitu seramai 103 orang membabitkan 32 keluarga.
“Diikuti Dewan Orang Ramai Kampung Pandan 1 (73 orang), Dewan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Murni Sungai Isap (59 orang), Dewan KRT Sungai Isap Satu dan Balairaya Bukit Kuin Satu masing-masing lapan orang dan Dewan Orang Ramai Mat Kilau sebanyak enam orang.
Dalam pada itu, berdasarkan portal Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, sehingga pukul 1 petang tadi, paras air Sungai Kuantan berada pada paras 6.66 meter iaitu melebihi paras amaran 6.4 meter.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya hari ini mengeluarkan amaran cuaca buruk tahap jingga di daerah Kuantan dan Pekan sehingga hari ini serta amaran waspada di daerah Jerantut, Maran, Bera dan Rompin.
“Angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Tioman. – K! ONLINE.