SEBERANG PERAI – Seorang lelaki disyaki pengedar dadah ditahan polis bersama sejumlah dadah bernilai RM24,400 selepas menahan motosikal ditungganginya di tepi Jalan Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan semasa serbuan kira-kira pukul 8 malam.
“Semasa operasi itu, polis merampas sepeket dadah heroin seberat 456 gram (g) bernilai RM5,000 dan tujuh peket dadah syabu (194 g) bernilai RM19,400.
“Polis turut menyita motosikal jenis Yamaha 125ZR bernilai RM6,000 daripada suspek itu yang positif dadah,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan berbeza, Noorzainy berkata, pihaknya merampas 31.25 liter air ketum dan 30 kilogram daun ketum semasa serbuan di Sungai Puyu, Butterworth dan Kampung Baru Tasek Gelugor kira-kira pukul 2 petang semalam.
“Polis turut menahan dua lelaki berusia 27 dan 42 tahun bersama ketum berkenaan yang dianggarkan bernilai RM770.
“Mereka yang negatif ujian saringan air kencing itu disyaki memproses air ketum bagi dipasarkan di kawasan sekitar,” katanya lagi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE