BATU PAHAT – Kasih kepada saudara kandung sendiri membuatkan lapan beradik di Parit Lapis Seri Dalam, Senggarang di sini berikrar untuk bersama-sama menjaga salah seorang daripada mereka yang kini disahkan lumpuh akibat jangkitan kuman dalam otak.
Situasi itu terpaksa ditanggung selepas mereka kematian ibu tercinta akibat penyakit kanser payudara pada 2014, manakala ayah pula tinggal di tempat lain untuk mencari rezeki.
Nurul Shahizahadwa Ahmad Salihin, 20, yang merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga itu berkata, abangnya yang juga kembar tiga, Muhammad Fazrul, 27, disahkan mendapat penyakit itu pada September tahun lalu.
“Abang anak keempat dalam keluarga dan dia mula jatuh sakit selepas raya haji tahun lepas. Keadaannya semakin lama semakin kurus sehinggakan menyukarkan untuk berjalan.
“Ada satu hari dia jatuh di depan rumah ketika cuba berdiri di tepi motosikal, kami angkat sebab abang susah nak jalan sebelum menghantarnya ke hospital swasta.
“Hasil imbasan, doktor sahkan terdapat jangkitan kuman dalam otak abang sebelum dia dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) hinggalah sekarang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.
Nurul Shahizahadwa masih bersekolah di tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ismail di Parit Raja.
Menurut anak keenam itu, abangnya baru sahaja keluar daripada wad di HSNI selepas ditahan untuk rawatan lanjut sejak sebulan lalu.
“Kami bergilir-gilir jaganya, yang tinggal di rumah ini hanya saya, seorang abang berusia 21 tahun dan dua adik berusia 14 dan 13 tahun. Dua lagi abang yang berusia 28 dan 27 tahun sudah berkahwin, manakala seorang lagi tinggal di bandar Batu Pahat.
“Ayah tidak tinggal dengan kami tetapi dia memberikan wang saku kira-kira RM500 sebulan dan selebihnya kami uruskan sendiri. Mujur abang selalu dapat bantuan daripada pihak luar,” katanya.-K! ONLINE