KLANG – Sebuah kilang pemprosesan buangan elektrik dan elektronik terpakai didenda RM180,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan menjalankan aktiviti tanpa sebarang kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dua tahun lalu.
Hakim Ariffin Razali membuat keputusan itu selepas syarikat dan pengarahnya berusia 40 tahun selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Syarikat yang beroperasi di Jalan Kapar di sini dan pengarah itu masing-masing didakwa atas lima pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, OKS didapati telah menjalankan aktiviti penstoran luar tapak bagi buangan terjadual daripada pemasangan elektrik dan elektronik terpakai tanpa kelulusan Laporan EIA.
Pertuduhan kedua adalah menjalankan aktiviti tersebut tanpa sebarang kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah JAS.
OKS juga dituduh menjalankan aktiviti tersebut tanpa sebarang lesen sebagai premis selain turut didakwa gagal mengemukakan pemberitahuan bertulis kepada Ketua Pengarah mengenai punca pencemaran udara.
Bagi pertuduhan kelima pula gagal memasang alat kawalan pencemaran udara mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Kesemua pertuduhan dijalankan mengikut Seskyen 34A(2), Seksyen 19 (a), Seksyen 18 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di samping Peraturan 5(1)(b) serta 7(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014. – K! ONLINE