KEMAMAN – Tindakan segelintir pihak menyebar berita palsu berhubung kehilangan enam pemancing di daerah ini amat dikesali oleh pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya memberi amaran dan akan mengambil tindakan tegas terhadap penyebar berita palsu berkenaan bukan sahaja menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat malah turut mengguris keluarga mangsa.
“Saya beri amaran tegas kepada mereka yang mengada-adakan cerita dan menyebar berita tidak benar. Kita akan cari siapa yang sebarkan berita tidak palsu ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
“Dalam masa sekarang kita perlu sensitif terhadap perasaan ahli keluarga. Sepatutnya kita fikir apa perasaan kita kalau berada di tempat mereka (ahli keluarga mangsa) apabila orang sebarkan berita tak benar,” katanya.
Semalam, tular di aplikasi WhatsApp penyebaran mesej palsu kononnya enam pemancing tersebut telah dijumpai dan berada di perairan Kuantan.
Sementara itu, Hanyan berkata, beliau berharap cuaca sedikit cerah pada hari ini memberi perkembangan positif terhadap usaha pencarian bot yang sepatutnya pulang pada Selasa lalu. .
“Kita mungkin akan meminta bantuan penduduk tempatan termasuk nelayan untuk turut sama membantu mencari bot pemancing tersebut,” katanya. – K! ONLINE