LONDON – Lukisan kanak-kanak kelahiran Malaysia yang menetap di Britain dipilih menjadi maskot rasmi Temasya Sukan Komanwel 2022 yang akan berlangsung di bandar Birmingham tahun depan.
Menurut laporan Badan Penyiaran British (BBC), maskot bernama Perry itu dipilih selepas Emma Lou, 10, memenangi pertandingan melukis maskot peringkat kebangsaan pada musim panas tahun lalu.
Emma yang dilahirkan di Malaysia, menetap di Birmingham selepas ibu bapanya berpindah ke Britain pada 2017.
Maskot itu diberi nama bersempena kawasan Perry Barr di Birmingham, di mana Stadium Alexander akan menjadi tuan rumah acara olahraga dan upacara pembukaan serta penutupan temasya tersebut.
“Saya berasa seperti sedang bermimpi apabila diberitahu lukisan saya dipilih sebagai maskot rasmi sukan Komanwel 2022.
“Saya memilih maskot lembu kerana Bullring adalah mercu tanda Birmingham dan saya teruja untuk masyarakat luar melihat maskot rekaan saya di temasya itu kelak,” kata Emma.
Sukan Komanwel Birmingham akan berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos 2022. – Agensi