SEJAK bergelar ibu kepada Irisa Alaia yang kini berusia 11 bulan, pelakon Izara Aishah, 29, mendedahkan dia masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan perubahan rutin hariannya.
Perubahan statusnya membuatkan dia masih belum bersedia untuk kembali ke set penggambaran dan meninggalkan si puteri kesayangan hasil perkahwinan dengan suami, Muhammad Adib Khalid tanpa pengawasan.
Paranoid dengan pelbagai kes membabitkan anak kecil, pelakon yang popular dengan filem J Revolusi itu sanggup mengorbankan sementara limpahan populariti karier lakonan dan menunggu masa yang sesuai untuk kembali berlakon.
Pada masa sama, Izara turut memberitahu, dia sangat berwaspada dan jarang memuat naik gambar anaknya dalam media sosial kerana bimbang dengan penyakit ain iaitu pandangan mata yang disertai iri hati atau dengki.
KOSMO!: Bagaimana keadaan Izara selepas 11 bulan bergelar seorang ibu?
IZARA AISHAH: Sejujurnya masih huru-hara (ketawa). Saya masih dalam fasa menyesuaikan diri. Bukan mudah sebenarnya untuk menjaga anak kecil.
Apakah perubahan terbesar sejak melahirkan anak?
Perubahan dari semua segi termasuklah suami, rakan, keluarga, anak dan keadaan rumah. Sampai susah nak jaga diri sendiri sejak ada anak kecil. Paling ketara, jadi malas hendak bersiap. Sekarang apabila anak sudah besar sedikit, barulah saya menjadi Izara yang dahulu. Perlahan-lahan saya kembali belajar bersolek dan berhias.
Adakah Izara tidak mahu kembali berlakon selepas memiliki anak?
Minat dan keinginan tetap ada tetapi saya dan suami sepakat untuk tunggu sehingga anak kami besar sedikit dan sudah faham keadaan. Saya akan berlakon semula kerana banyak menerima tawaran. Cuma sebelum ini saya menolak kerana tidak bersedia untuk tinggalkan anak. Saya tiada pembantu rumah, jadi urusan menjaga anak dilakukan sendiri.
Bila agaknya Izara bersedia untuk tinggalkan anak?
Saya sudah bersedia untuk memiliki pembantu rumah, tetapi tidak boleh letakkan kepercayaan 100 peratus. Jika saya ada pembantu rumah pun, tugasnya hanya mengemas rumah sahaja. Menguruskan anak dan keluarga tetap saya akan buat sendiri. Sampailah saya lihat pembantu rumah itu ada keikhlasan dan saya percaya, barulah dia boleh pegang dan jaga anak kami.
Mengapa Izara jarang berkongsi gambar anak dalam media sosial?
Saya percaya tentang penyakit ain dan takut akan terkena pada anak saya. Oleh sebab itu, setiap kali sebelum memuat naik sebarang gambar dalam sosial media, saya akan membaca ayat Kursi terlebih dahulu.
Sebabnya saya sangat takut dengan sifat manusia yang kita tidak tahu sama ada baik atau jahat. Memang dalam Islam pun kita sudah diberitahu tentang perkara ini. Sejak ada anak, saya belajar berubah menjadi lebih baik. Jadi, perasaan paranoid muncul secara sendiri. Mahu letak gambar swafoto sendiri pun adakalanya saya berasa bimbang. Namun, suami selalu menitipkan pesan agar saya sentiasa mengemas kini akaun media sosial. Supaya nanti peminat dan industri tidak lupa pada saya.
Baru-baru ini kecoh tentang komen Izara dalam Twitter berkenaan selebriti media sosial (instafamous) yang diambil berlakon. Boleh komen?
Saya bukan tujukan kepada pensohor media sosial semata-mata, tetapi secara keseluruhannya. Mereka boleh pilih sesiapa sahaja menjadi pelakon, tetapi gunakan saluran yang betul seperti lakukan sesi uji bakat. Bukannya pilih kerana rupa cantik dan memiliki jumlah pengikut yang ramai dalam media sosial. Sudahnya, nanti menyusahkan banyak pihak sebab tiada bakat dan pengalaman.
Apakah yang Izara harap daripada pelakon baharu?
Kepada yang mahu jadi pelakon, paling penting mesti belajar dan kaji karakter. Mereka juga harus ada inisiatif sendiri untuk menghadiri kelas lakonan. Jangan sekadar membaca skrip. Seperkara lagi, letaklah harga bayaran dengan betul. Jangan terlalu rendah kerana boleh merosakkan pasaran pelakon yang serius dalam bidang ini.