fbpx

Ernie, Syamel kini suami isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ernie dan Syamel selamat diijabkabul sebagai suami isteri pada pukul 10.30 pagi tadi. - Foto @Sweetpictures_kl

PETALING JAYA – Hanya dengan sekali lafaz, pasangan duet popular, Ernie Zakri dan Syamel selamat bergelar suami isteri dalam satu majlis ringkas sebentar tadi.

Pasangan itu dinikahkan jurunikah, Ustaz Zainal dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Zakri Ahmad di Masjid Puncak Alam, Shah Alam, Selangor pada pukul 10.30 pagi.

Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 29, menerima seutas gelang tangan berlian dan RM300 sebagai mas kahwin daripada pihak lelaki.

Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan kedua-dua belah mempelai.

Pada majlis yang berlangsung secara sederhana dan hanya dihadiri keluarga terdekat, Ernie menerima lima dulang hantaran daripada pengantin lelaki berbalas tujuh dulang daripada pihaknya.

Menurut pelantun lagu Gundah itu, pernikahan berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti saranan kerajaan. Kini bergelar seorang isteri, penyanyi  bersuara merdu itu tidak dapat menafikan perasaan gementar saat diijabkabul.

“Perasaan masa nak nikah, sangat gementar. Kami sedih sebab kalau boleh nak semua keluarga berada bersama namun, ketika proses nikah hanya 20 orang dibenarkan berada di masjid. Kalaulah ada arwah nenek dan datuk kami bersama, majlis itu mungkin lebih bermakna.

“Sama seperti pasangan lain, kami berdepan cabaran untuk melangsungkan pernikahan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama dari segi pematuhan SOP dan dokumentasi. Sekarang saya gembira dan lega apabila semuanya sudah selesai,” kata Ernie.

Terdahulu, pasangan itu mulai rapat selepas terbabit dalam program Duo Star terbitan Astro pada 2017.

Ketika itu Syamel dan Ernie menjadi pasangan duet dan muncul juara dalam program realiti terbabit.

Lebih menguatkan cinta mereka apabila diangkat sebagai pemenang trofi Vokal Terbaik menerusi single duet berjudul Aku Cinta pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) pada 2018.

Mereka mengikat tali pertunangan pada 15 Ogos tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI