fbpx

Boleh Blah introduksi Kamelia Syermain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMELIA SYERMAIN

ORANGNYA kecil molek, tetapi mempunyai azam dan semangat yang cukup besar. Menggunakan nama pentas sebagai Kamelia Syermain, wanita yang berasal dari Kuching, Sarawak itu enggan melepaskan peluang selepas dilamar menjadi artis rakaman.

Bagi pemilik nama lengkap Kamelia Kamil itu, biarpun pesonanya tidaklah segah penyanyi wanita lain di Malaysia, namun dia tetap gembira kerana mempunyai lagu sendiri untuk dipersembahkan kepada khalayak.

Menurut Kamelia, buat masa ini dia hanya menjadikan kerjaya sebagai penyanyi sebagai kerja sambilan kerana mempunyai pekerjaan tetap sebagai pembantu akaun.

Menariknya, dia bertugas sebagai pembantu akaun di syarikat rakamannya sendiri iaitu Seventeen Eleven Music sejak tujuh tahun sebelum dilamar majikannya untuk menjadi artis rakaman.

“Saya masih lagi bekerja sebagai pembantu akaun di Seventeen Eleven Music dan pada masa sama menjadi artis rakaman di situ.

KAMELIA hanya menjadikan dunia nyanyian sebagai kerjaya sambilan. – FARIZ RUSADIO

“Saya bukannya tidak mahu menjadi penyanyi sepenuh masa, tetapi rezeki bekerja di situ masih ada. Disebabkan itulah saya ambil peluang bergelar artis rakaman sebagai kerjaya sambilan,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 27 tahun itu lagi, bakat nyanyiannya dicungkil sejak dari kecil selepas dia dan keluarga gemar berkaraoke di rumah.

Menjelang usia remaja, Kamelia memberanikan diri untuk menyanyi ‘busking’ (persembahan jalanan) di Kuching, Sarawak.

“Di sana, saya mempunyai kawan-kawan yang mempunyai minat sama terhadap muzik. Sejak mengadakan persembahan ‘busking’ pada 2013, kami kemudian mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur setahun selepas itu untuk mengembangkan kerjaya,” kongsinya.

Bagaimanapun, peluang dan jalannya untuk menjadi penyanyi bukan mudah seperti disangka sehingga Kamelia pernah terdetik untuk melenyapkan cita-citanya bergelar artis.

Peluang

“Saya pernah mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi dan mencari kerja tetap sebelum diambil bekerja di syarikat sekarang.

“Ketika ditawarkan menjadi artis rakaman mereka pada 2019, pada awalnya saya enggan terima.

“Selepas puas dipujuk keluarga dan rakan-rakan, barulah saya terbuka hati menerima lamaran mereka,” dedah Kamelia.

Sebagai salam pengenalan dalam industri, Kamelia muncul dengan single berjudul Boleh Blah bersama penyanyi Chubb-E pada Disember tahun lalu.

Dia cukup teruja saat berbicara perihal buah tangan berkonsepkan muzik pop dan hip hop tersebut.

JIKA tiada rezeki dalam nyanyian, Kamelia mahu menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

“Lagu Boleh Blah mengisahkan tentang seseorang yang berada dalam hubungan percintaan toksik. Hubungan toksik tidak semestinya kerana kecurangan, tetapi juga melibatkan percintaan yang kurang dihargai oleh pasangan.

“Jadi lagu ini boleh dikatakan cerita berkaitan hubungan cinta seseorang yang sia-sia,” katanya.

Tambah Kamelia, secara jujurnya dia lebih tertarik dengan lagu bergenre R&B, namun kerana sedar statusnya sebagai pendatang baharu dalam industri, dia tidak kisah bermula dengan muzik bernuansa pop sesuai dengan selera semasa.

Bercakap tentang keupayaan vokal sendiri, Kamelia mengakui tidak pernah mengikuti kelas profesional dan banyak berlatih sendiri.

“Saya boleh menyanyi lagu bernada tinggi. Cuma akui tidak mampu menyanyikan lagu yang terlalu tinggi sehingga hampir ‘terkeluar tekak’ kerana tahu keupayaan dan kemampuan vokal sendiri,” kata Kamelia.

Ditanya siapakah penyanyi tempatan yang dikagumi, Kamelia memberitahu bahawa dia mengidolakan Yuna dan Dayang Nurfaizah selain berhasrat untuk berduet dengan dua penyanyi itu.

Untuk masa akan datang, dia menyimpan harapan agar diberi peluang untuk merakamkan lagu bergenre R&B seperti yang diidamkannya.

“Kalaulah rezeki tidak memihak dalam bidang seni, saya merancang untuk mencuba menjalankan perniagaan suatu hari nanti,” luahnya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI