SEPANG – Sebanyak 1,160 kilogram (kg) daging kambing segar yang diimport dari negara Australia bernilai RM56, 614.70 dirampas pihak berkuasa ketika pemeriksaan dilakukan di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Rabu lalu.
Rampasan tersebut telah dilakukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) selepas pemeriksaan dibuat pada pukul 11 pagi, hari tersebut.
Pemangku Pengarah Maqis Negeri Selangor, Zamri Hashim berkata, ketika pemeriksaan dibuat didapati, daging segar yang diimport tersebut tidak mempunyai logo halal pada pembungkusan.
“Akibat kesalahan tersebut, kesemua daging kambing tersebut dirampas untuk tindakan lanjut,”katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, pengimportan dagangan daging itu tidak mematuhi syarat permit Import yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Maqis.
“Kegagalan mengimport tanpa mematuhi syarat permit menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, Maqis sentiasa teliti dan cekap dalam menjalankan pemeriksaan ke atas setiap dagangan yang diimport dan dieksport bagi mengelakkan kemasukan dagangan yang diimport bersama penyakit dan perosak yang boleh menjejaskan negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan. K! ONLINE.