JAKARTA – Selepas lebih sebulan industri seni hiburan Indonesia kecoh tentang isu ‘pelakor’ (pencuri laki orang) membabitkan vokalis kumpulan Sabyan iaitu Nissa dengan salah seorang anggotanya, Ayus, media Indonesia melaporkan pemain keyboard itu telah rasmi bercerai dengan isterinya, Ririe Fairus semalam.
Menurut laporan hot.detik.com, proses perceraian itu telah dibuat di Mahkamah Agama Jakarta Utara yang dihadiri oleh Ririe dan ditemani ahli keluarganya. Bagaimanapun Ayus dilaporkan tidak hadir ke mahkamah.
“Kali terakhir bertemu pada beberapa hari lalu,” kata Ririe kepada media usai prosiding perceraiannya di Mahkamah selesai.
Walaupun mengambil keputusan untuk berpisah, Ririe memberitahu komunikasinya dengan bekas suami tetap berjalan dengan baik untuk berbincang tentang proses perceraian.
Ketika prosiding perceraian dijalankan, Ririe telah memanggil dua orang saksi untuk memberi keterangan tentang masalah rumah tangga yang dialaminya.
“Saya lega proses perceraian ini berjalan dengan lancar dan menerima takdir yang telah diputuskan. Kami berpisah secara baik,” ujarnya yang turut memberitahu bahawa Ayus bebas untuk bertemu dengan anak-anaknya selepas ini.
Terdahulu, hubungan sulit antara Ayus dengan Nissa terbongkar selepas adik Ayus iaitu Fadhila Nova mendedahkan bahawa abangnya menjalinkan hubungan skandal sejak lebih dua tahun lalu bersama penyanyi tersebut.
Pendedahan itu dibuat menerusi satu wawancara program Rumpi No Secret Trans TV. Dalam wawancara tersebut, Fadhila memberitahu bahawa hubungan abangnya dengan Nissa terbongkar selepas lelaki itu terlupa untuk memadam perbualan ‘cinta’ antara dia dengan Nissa dalam satu aplikasi chat.
Ayus menerusi sebuah video berdurasi 44 saat yang dimuat naik di media sosial mengaku bersalah dan memohon maaf terhadap isterinya, keluarga dan anggota Sabyan Gambus yang tidak selesa dengan kesalahan dilakukannya. -K! ONLINE