PUTRAJAYA – Perdana Menteri,nTan Sri Muhyiddin Yassin mahu negeri-negeri lain meneliti dan mempercepatkan persetujuan bagi inisiatif pengebilan bersepadu membabitkan perkhidmatan bekalan air dan pembetungan.
Sekretariat Majlis Air Negara, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi kenyataan hari ini berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri ketika mempengerusikan Mesyuarat Kedua Majlis Air Negara (MAN) 2021 secara maya, hari ini.
Menurutnya, Perdana Menteri turut menyarankan supaya inisiatif itu dilaksanakan bagi negeri-negeri yang telah memberikan persetujuan.
“Selain itu, mesyuarat juga dimaklumkan bahawa kerajaan Negeri Johor turut menyatakan persetujuan untuk IWK Konsortium Sdn. Bhd. mengambil alih perkhidmatan pembetungan di Majlis Perbandaran Johor Bahru dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang,” katanya.
Kenyataan itu berkata, Perdana Menteri turut menyifatkan Program Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) disambut baik oleh semua negeri khususnya dalam usaha mengurangkan pencemaran sungai.
Sebelum ini, KASA menyasarkan membina 10,000 kilometer denai di tepi sungai di seluruh negara sebagai kawasan rekreasi dan taman awam menjelang 2030 sebagai langkah pencegahan pencemaran di kawasan itu.-K! ONLINE