KUALA LUMPUR – Kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan berjumlah RM30 juta bagi pembelian kamera badan atau body-worn camera untuk kegunaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penggunaan kamera badan itu bertujuan melindungi anggota PDRM daripada perbuatan fitnah oleh penjenayah ataupun orang yang tidak bertanggungjawab.
“Melalui penggunaan kamera badan berteknologi tinggi dan canggih, saya percaya moral dan keyakinan anggota PDRM dapat dipertingkatkan semasa melakukan operasi dan penugasan yang telah ditetapkan.
“Sungguhpun ia melibatkan kos tambahan kepada kerajaan, namun kerajaan akan tetap menimbangkan sekiranya wujud keperluan peruntukan bagi memperlengkapkan pasukan polis,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perbarisan Sempena Peringatan Hari Polis Ke-214 di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Dalam pada itu, jelasnya, kerajaan juga telah bersetuju untuk memanjangkan imbuhan kewangan RM500 kepada semua penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN), tidak kira sama ada kepada penerima pingat yang sedang bertugas atau sudah bersara daripada perkhidmatan.
“Pemberian imbuhan ini akan dimanfaatkan oleh lebih 80,000 penerima PJPN, termasuk 40,000 penerima pingat yang sudah bersara daripada perkhidmatan.
“Pemberian ini sebagai tanda kerajaan amat prihatin terhadap keperluan pasukan polis untuk meningkatkan keupayaannya,” ujarnya. – K! ONLINE.