SHAH ALAM – Seorang pengarah syarikat pembekalan elektronik direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan rasuah RM10,000 mencerobohi tanah rezab kerajaan di Klang dekat sini, kelmarin.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ellyna Othman terhadap suspek lelaki berusia 60 tahun selepas dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ) di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Dalam prosiding reman itu, suspek diwakili Peguam Lo Mei Na.
Terdahulu suspek yang memakai baju lokap SPRM hadir pukul 10 pagi di kompleks mahkamah Shah Alam dengan bergari dan dikawal pegawai SPRM.
Menurut sumber, suspek ditahan pukul 1 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Selangor.
Kata sumber itu, siasatan awal suspek telah memberikan wang rasuah sebanyak RM10,000 pada Selasa lalu agar tidak mengambil tindakan undang-undang mencerobohi tanah rezab kerajaan di Klang.
“Suspek yang mengusahakan kilang pembekalan elektronik lebih 20 tahun didapati telah menceroboh rizab Sungai Aur, Pandamaran di Klang.
“Pencerobohan dilakukan sejak awal tahun ini dengan menambak tanah selain memasang pagar-pagar kayu dipercayai untuk meletakkan barangan kilangnya,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penangkapan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – K! ONLINE.