IPOH – Sebuah kedai runcit yang beroperasi di Medan Ipoh didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah gagal mendaftar perusahaan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tiga tahun lalu.
A. P. Vivekanandan, 57, yang hadir, sebagai pemilik kedai runcit tersebut mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khir Nizam Jemari.
Vivekanandan yang hadir sebagai Orang kena saman (OKS) itu juga berdepan satu bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, kedai runcit itu didakwa gagal mendaftar perusahaan dengan Perkeso dalam tempoh tidak melebihi 30 hari seperti mana dikehendaki di bawah Seksyen 4 Akta Keselamatan Sosial 1969 (Akta 4) dan Peraturan 10(3) Peraturan-peraturan Am Keselamatan Sosial Pekerja 1971.
Kesalahan tersebut dilakukan di A To Z Convinience Store di Jalan Medan Ipoh, Bandar Baru Medan Ipoh di sini pada 21 Mei 2019.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 94 (g) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Perkeso, Mohd. faizal Nawawi dan S. V. Naline manakala OKS tidak diwakili peguam.
OKS membayar denda berkenaan. -K! ONLINE.