ALOR SETAR – Seorang pemandu lori didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan 42 ekor babi hidup tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah, Februari lalu.
Majistret Nurshahida Abdul Rahim turut memerintahkan tertuduh, K. Punithanathan, 56, dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh membayar denda dikenakan.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memindahkan 42 ekor babi hidup menggunakan sebuah lori tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah atau mana-mana pihak berkuasa veterinar yang diberi kuasa berbuat demikian.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di No. 57, Batu 7 1/4, Jalan Tokai, Simpang Empat dekat sini yang termasuk dalam Pewartaan Perintah Kawasan Kawalan Pembasmian Penyakit Kuku dan Mulut negeri Kedah 2006 kira-kira pukul 7.20 pagi, 5 Februari lalu. – K! ONLINE.