KUALA LANGAT – Mayat seorang lelaki ditemui tersangkut pada sebatang pohon kayu di tebing sungai Batu Hampar Jugra, Banting di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, penemuan mayat berusia 30an lengkap memakai baju-T dan berseluar dalam itu dimaklumkan orang awam kira-kira pukul 10.20 pagi.
Katanya, pihaknya meminta bantuan daripada anggota bomba untuk mengeluarkan mayat berkenaan.
“Berdasarkan pemeriksaan, mayat itu hanya memakai baju-T dan seluar dalam serta tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -K!ONLINE