PETALING JAYA – Bahagian Anti Pengganas (E8), Cawangan Khas Bukit Aman berjaya mematahkan rancangan membunuh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Perkara itu didedahkan Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azman Omar dalam satu forum maya anjuran Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia berkenaan radikalisme dan ekstremisme pagi tadi.
Menurutnya, rancangan tersebut terbongkar selepas penahanan seorang lelaki yang mengaku merancang untuk menyerang secara bersendirian bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa dan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.
“Kita berjaya menghalangnya melakukan jenayah itu pada Januari 2020 beberapa bulan sebelum negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kes itu antara tujuh tangkapan yang dilakukan pasukan E8 pada tahun lalu, berbanding lebih 10 serbuan dan tangkapan pada 2019.
“109 serbuan dan tangkapan dilakukan pada 2018,” jelasnya.
Dalam pada itu, menurut sumber, Bahagian E8 telah menjalankan operasi tangkapan ke atas enam individu yang terdiri daripada lima lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia di Kuala Lumpur, Perak, Selangor dan Pulau Pinang pada 6 dan 7 Januari tahun lalu.
Operasi tangkapan itu adalah susulan siasatan ke atas kumpulan Whatsapp yang pernah membuat ugutan bunuh ke atas Dr. Mahathir dan beberapa orang kenamaan menerusi dua video ugutan pada 12 Disember 2019 dan 1 Januari tahun lalu di media sosial.
“Siasatan mendapati, ketua kumpulan itu turut menganggotai kumpulan yang mempunyai kaitan dengan penyerang berani mati pada 13 November 2019 di Indonesia.
“Kesemua tangkapan yang juga ahli kumpulan terbabit merupakan penyokong perjuangan kumpulan Daesh di negara ini. Siasatan sedang diteruskan dan segala perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Kesemua tangkapan yang berusia 26 hingga 51 tahu itu kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Bab IV A Kanun Keseksaan kerana terlibat dengan kesalahan berkaitan keganasan. -K! ONLINE