fbpx

Kilang penyaduran komponen elektrik didenda RM60,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kilang penyaduran komponen elektronik yang didenda Mahkamah Sesyen Sepang hari ini selepas didapati bersalah melepas efluen perindustrian mentah.

SEPANG – Tindakan sebuah kilang penyaduran komponen elektronik melepaskan efluen perindustrian mentah melebihi had piawai yang ditetapkan membawa padah apabila dikenakan denda RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang di sini hari ini.

Hakim, Tengku Shahrizam Tuan Lah menjatuhkan hukuman tersebut kepada syarikat selaku Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili pengarahnya yang membuat pengakuan bersalah di atas tiga pertuduhan yang dikenakan.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat didapati telah melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai seperti yang telah ditetapkan di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 bagi tiga parameter.

Efluen perindustrian itu ialah kandungan pepejal terampai yang mempunyai kepekatan sebanyak 630 miligram perliter (mg/l) iaitu melebihi had kepekatan yang dibenarkan iaitu 100 mg/l selain kandungan aluminium yang mempunyai kepekatan sebanyak 30 mg/l iaitu melebihi had kepekatan yang dibenarkan iaitu 15 mg/l; dan kandungan nikel  yang mempunyai kepekatan sebanyak 4.2 mg/l iaitu melebihi had kepekatan yang dibenarkan iaitu 1.0 mg/l.

Bagi pertuduhan kedua, syarikat terbabit didapati gagal menjalankan pemantauan prestasi terhadap semua komponen sistem pengolahan efluen perindustrian.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga pula, syarikat didapati telah gagal memastikan sistem pengolahan efluen perindustrian dikendalikan oleh orang yang berwibawa.

Bagi setiap satu pertuduhan, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor , Nor Aziah Jaafar berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

“Justeru, saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI