fbpx

Jurubahasa ditahan bersama lelaki ‘pau’ duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang jurubahasa wanita dan seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dengan jenayah pemerasan wang sebanyak RM5,000 terhadap sepasang suami isteri dalam satu kejadian di sebuah kedai di Taman Bunga Raya, Masai pada 17 Mac lalu.

Kedua-dua suspek yang berusia 35 dan 39 tahun itu ditahan di sebuah restoran di Taman Desa Jaya, di sini pada pukul 7.57 malam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, suspek dipercayai meminta sejumlah wang sebagai upah menyelesaikan kes mangsa dan suaminya.

“Pada 18 Mac lalu, mangsa wanita yang berusia 56 tahun telah dibawa seorang wanita yang dipercayai  seorang jurubahasa dan seorang lagi lelaki selepas keluar dari lokap di Balai Polis Johor Jaya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam pada pukul 12 tengah hari untuk mengambil suami mangsa.

“Kedua-dua suspek kemudian membawa pasangan suami isteri itu ke sebuah restoran sebelum meminta RM5,000 sebagai upah kerana membantu pasangan berkenaan.

“Walaupun mangsa mengatakan tidak mempunyai wang berkenaan, suspek tetap mendesak sehingga memaksa mangsa meminta anaknya memasukkan jumlah wang terbabit dalam akaun bank yang tidak dikenali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, polis bertindak menahan kedua-dua suspek manakala semakan dibuat mendapati kedua-duanya memiliki rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

“Suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah dan enam rekod dadah manakala suspek wanita mempunyai tiga rekod jenayah dan lima rekod dadah.

“Soal siasat dibuat mendapati suspek lelaki mengakui menerima wang berjumlah RM5,000 dan dia turut mengaku mengarahkan suspek perempuan melakukan pemerasan terhadap mangsa,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bermula semalam.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI