GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi meyakinkan kira-kira 16,000 Orang Asli di negeri ini untuk mendaftar sebagai penerima Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu, Shafie Abas berkata, menerusia inisiatif itu, pihaknya berusaha meningkatkan pemahaman dan memperbetulkan persepsi masyarakat Orang Asli yang dilaporkan menolak vaksin selepas terpengaruh dengan pandangan negatif wargamaya di media sosial.
Jelas beliau, para pemimpin Orang Asli akan diberikan taklimat terlebih dahulu sebelum pihak Jakoa melaksanakan langkah seterusnya dengan masuk ke kampung-kampung untuk memberi penerangan berkaitan vaksin Covid-19.
“Kita berharap penghulu dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Orang Asli (JPKKOA) akan menyampaikan maklumat yang diterima kepada masyarakat kampung.
“Jika penyampaian maklumat yang, kita dapat memastikan seramai 16,000 Orang Asli di Kelantan mendaftar sebagai penerima vaksin,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Orang Ramai Jubli Perak Kuala Betis di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Taklimat Vaksinasi Covid-19 kepada Kepimpinan Penghulu dan Pengerusi JPKKOA Negeri Kelantan yang disampaikan Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kuala Betis, Dr. Siti Sarah Salahuddin.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim dan Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng.
Sementata itu, Bidi mengakui, sebilangan besar komuniti Orang Asli di kawasan pedalaman negeri ini menolak suntikan vaksin Covid-19 selepas terpengaruh dengan propaganda negatif menerusi media sosial.
Katanya, terdapat beberapa pihak menyalurkan maklumat salah mengenai vaksin melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook menyebabkan Orang Asli mula ragu-ragu dan seterusnya menolak suntikan vaksin.
“Kami selaku pemimpin Orang Asli akan memperbetulkan perkara terbabit supaya masyarakat Orang Asli memahami kepentingan vaksinasi dan lebih bersikap terbuka dalam perkara ini,” katanya. -K! ONLINE.