LONDON – Legenda Chelsea, Frank Leboeuf menasihatkan bekas pasukannya supaya tidak membuat keputusan mendapatkan ‘mesin gol’ Borussia Dortmund, Erling Haaland pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel dan pihak pengurusan pasukan itu dilaporkan bersetuju dengan cadangan untuk mendapatkan Haaland biarpun pemain antarabangsa Norway itu mendedahkan bahawa dia tidak minat untuk menyertai pasukan itu.
Bagaimanapun, harga bidaan yang mampu dikemukakan oleh Chelsea bakal membuatkan Dortmund berdepan kesukaran untuk menolaknya selain tawaran gaji lumayan juga mungkin mengubah pendirian Haaland.
Biarpun memiliki seorang penyerang muda terbaik dunia memberikan manfaat buat Chelsea, namun Leboeuf percaya ia bukanlah satu keputusan yang bijak.
Bekas pemain pertahanan Perancis itu juga percaya, Tuchel hanya perlu fokus untuk membentuk pasukan yang mantap dengan pemain yang ada.
“Haaland adalah terbaik. Sudah tentu ia akan memberikan kelebihan buat Chelsea..
“Apa yang lebih penting, anda perlu memastikan semua individu di dalam bilik persalinan mengikuti segala kehendak pengurus,
“Jika anda memasukkan Haaland di dalam pasukan, anda akan kehilangan (Olivier) Giroud atau mungkin juga tidak mampu mengekalkan (Kai) Havertz dan Timo (Werner).
Bagaimana pula dengan (Christian Pulisic)? Di mana anda mahu letakkan Hakim Ziyech?
“Itu adalah pertimbangan yang anda perlu lakukan untuk memastikan ia berjalan lancar demi kejayaan kelab.
“Anda boleh mendapatkan pemain baharu, ia bukan satu masalah tetapi perlu memastikan keserasian wujud. Jika tidak, anda hanya akan mengundang padah. Hanya dengan memiliki pemain berbakat, tidak membuatkan anda mampu memenangi setiap perlawanan.
–AGENSI