PENAMPANG – Tindakan dua lelaki termasuk seorang remaja memecah masuk sebuah premis kedai di daerah ini membawa padah apabila berjaya ditahan selang beberapa jam selepas melakukan aktiviti jenayah.
Dikenali sebagai Geng Taufiq, kedua-dua suspek berkenaan terdiri dari seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun manakala seorang lagi adalah remaja warganegara Filipina berumur 13 tahun.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim berkata penangkapan kedua-dua suspek terbabit sekaligus menyelesaikan lapan kes pecah masuk dan curi membabitkan premis perniagaan sekitar Beverly Hill serta Bundusan.
“Semua suspek ditahan berikutan kita menerima satu laporan pecah masuk sebuah kedai yang dibuat oleh seorang lelaki selepas mendapati pintu kedai jenis ‘roller shutter telah dirosakkan selain terdapat kesan umpil ketika mahu membuka pintu kedai sekitar jam 7.30 pagi pada Isnin lalu.
“Pengadu juga mendapati seutas jam tangan miliknya sudah hilang selain terkejut melihat keadaan barang-barang dalam kedai turut berselerak.
“Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki terbabit di pintu masuk sebuah pusat beli-belah kira-kira jam 9 pagi hari sama,” katanya ketika sidang media selepas Sambutan Hari Polis ke 214 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, dekat sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Haris menyatakan modes operandi geng berkenaan adalah mensasarkan premis perniagaan samaada restoran, kedai runcit dan kedai perkakasan.
Menurut beliau, premis yang menjadi sasaran akan dipecah masuk dengan mengumpil serta mematahkan kunci pintu jenis ‘roller shutter’ menggunakan pemutar skru yang diubahsuai.
“Kumpulan ini dikesan mula aktif melakukan kegiatan jenayah pecah masuk dan curi sekitar awal Januari tahun ini.
“Setiap hasil curi dipercayai digunakan suspek untuk bersuka ria termasuklah menginap di hotel-hotel sekitar bandar raya Kota Kinabalu,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Haris memaklumkan semua suspek direman selama empat hari bermula 23 sehingga 26 Mac depan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah masuk dan curi. -K! ONLINE.