fbpx

Fitnah Ismail Sabri: Anina fail pembelaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anina ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Anina Saadudin telah memfailkan pembelaannya dalam kes saman yang dikemukakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kata-kata fitnah dalam Facebook.

Anina, 46, yang tidak diwakili peguam itu memfailkan pembelaan dan memaklumkannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini pada pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril.

Terdahulu, Anina juga mengatakan bahawa dia ingin meneruskan kes tanpa peguam dan akan membela diri.

“Saya seorang suri rumah, saya tidak mampu melantik peguam jadi saya akan mewakili diri saya sendiri. Saya hadir di mahkamah dengan percaya bahawa mahkamah akan bertindak adil dan sebagai tempat di mana saya dapat bercakap benar,” katanya.

Ketika prosiding, Anina turut memaklumkan bahawa dia telah memadam posting (penyiaran) seperti dalam tuntutan saman yang dikemukakan selain tiada bantahan sekiranya perintah injuksi diteruskan.

Dalam prosiding itu Ismail Sabri diwakili peguam K.Ragunath.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Oktober ini bagi perbicaraan kes saman itu.

Ismail Sabri, 61, selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu dalam kapasiti peribadinya melalui Tetuan Kesavan pada 5 Mac lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Anina, 46, selaku defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Ahli Parlimen Bera itu mendakwa Anina telah menerbitkan 13 kata-kata fitnah dan turut memuat naik video di dalam Facebook miliknya.

Anina antara lain mendakwa menteri itu tidak kompeten dalam menjalankan tugasnya ketika melaksanakan peraturan-peraturan ketat untuk memerangi penyebaran Covid-19 menerusi PKP.

Dakwa plaintif, 13 penyiaran kata-kata fitnah dibuat oleh Anina bermula 5 Februari hingga 3 Mac lalu menerusi Facebooknya kemudian turut dikongsi oleh pengguna laman sosial itu.

Akibat kata-kata fitnah itu, Ismail Sabri mendakwa reputasinya turut terjejas dan siaran-siaran fitnah yang dibuat oleh defendan adalah berniat jahat untuk mencederakan dan menjatuhkan nama baik serta imej plaintif.

Justeru, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relif lain difikirakan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memfailkan permohonan secara ex parte (sebelah pihak) untuk mendapatkan perintah injunksi bagi memaksa Anina dengan serta-merta memadamkan kesemua penyiaran fitnah mengenai plaintif di akaun Facebook defendan dan injunksi bagi menghalang defendan atau wakilnya daripada membuat penyataan fitnah menerusi media sosial yang diuruskan oleh defendan.

Ismail Sabri memfailkan permohonan itu atas alasan defendan secara berterusan sejak awal Februari lepas, menyiarkan beberapa kata-kata fitnah terhadap plaintif, yang tidak benar.

Sementara itu,  mahkamah kemudian memerintahkan Anina memadam semua kenyataan  dimuat naik di laman Facebook miliknya yang didakwa menfitnah Ismail Sabri

Perintah itu selepas mahkamah membenarkan permohonan ex parte (sebelah pihak) oleh Ismail Sabri untuk mendapatkan perintah injunksi bagi memaksa defendan dengan serta-merta memadamkan kesemua penyiaran fitnah mengenai plaintif di akaun Facebook Anina. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI