MANAMA – Pengarah perlumbaan Ferrari, Laurent Mekies yakin pasukannya itu sedia untuk memulakan aksi pembukaan saingan Formula Satu (F1) selepas melihat kemajuan pada jentera Ferrari SF21 pada sesi ujian rasmi minggu lalu.
Mekies menjelaskan pasukannya telah bekerja keras untuk mendapatkan pelarasan terbaik pada unit kuasa mereka selepas berdepan masalah pada tahun lalu.
Sejak peraturan baharu berkenaan enjin dikeluarkan di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat pada 2019, Ferrari telah bekerja keras membangunkan unit kuasa yang berdaya saing, namun mereka gagal untuk mendapatkan pelarasan sempurna termasuk pada musim lalu.
“Enjin lebih baik dan tiada sebarang keraguan. Pasukan telah bekerja keras untuk memastikan enjin ini mampu memberi cabaran pada musim 2021. Kami tidak perlu ke litar untuk melihat kemampuannya kerana pasukan mampu menilai operasi enjin pada ujian dyno.
“Kami berada di landasan terbaik dan kami tidak mahu dibayangi impak negatif pada musim lalu. Kini pasukan lebih bersedia dan saya lihat Ferrari mampu tampil lebih positif pada tahun ini,” kata Mekies.
Musim 2020 merupakan musim malang buat Ferrari apabila pasukan tersebut gagal menyaingi Mercedes dan hanya meraih tiga podium menerusi kedua-dua pelumbanya iaitu Charles Leclerc dan Sebastian Vettel.
Justeru, Ferrari meletakkan harapan penuh kepada Leclerc dan pelumba baharunya, Carlos Sainz untuk kembali memburu kemenangan.
“Kami percaya ia adalah permulaan baik untuk beralih ke musim 2022 nanti dengan lebih banyak pembaharuan. Tahun ini kami akan menggunakan casis yang sama seperti 2020 selepas pembangunan casis dibekukan ketika ini,” kata Mekies. – AGENSI