KOTA BHARU – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan membaling batu-bata ke arah kereta bapa mertuanya pada Isnin lalu.
Tertuduh, Tuan Khairul Aiman Tuan Khairuddin,23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Izuddin Mohd. Shukri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan khianat terhadap harta benda milik Che Mahdi Che Lah, 62, dengan cara membaling batu-bata ke arah keretanya sehingga menyebabkan kerugian melebihi RM25.
Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di sebuah rumah di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Kok Lanas di sini kira-kira pukul 12.50 tengah malam pada 22 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Gayathri manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Syaerah Meor Zulkifli Auni.
Terdahulu, Gayathri meminta tiada jaminan ditawarkan ekoran bimbang tertuduh mengganggu mangsa yang juga merupakan ahli keluarganya.
Siti Syaerah dalam rayuannya memohon ikat jamin yang rendah kerana tertuduh yang merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) masalah pembelajaran dan ditanggung sepenuhnya oleh kedua ibu bapa.
“Anak guam saya mempunyai rekod menghidap bipolar dan sedang dalam fasa mengambil ubat. Sehubungan dengan itu, kami juga sedang menunggu laporan terbaharu berkaitan penyakit itu dari Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian,” katanya.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak menggangu mangsa dan saksi pendakwaan.
Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan dan kes disebut semula pada 6 Mei depan. – K! ONLINE.