PETALING JAYA – Insiden bongkah konkrit berbentuk segi empat yang berada di lorong tengah Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pagi tadi tidak ada kaitan dengan pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE).
Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) berkata, bongkah konkrit yang mengahalang sebahagian lorong tengah MRR2 selepas Hillview menghala ke Ampang itu telah jatuh dari sebuah lori pihak ketiga yang melalui kawasan tersebut.
“Kerja pengalihan dan pembersihan telah selesai kurang 30 minit dan keadaan trafik kembali seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, (SUKE) dalam satu kenyataan ringkas di laman Twitter rasminya menafikan kejadian itu berpunca daripada pihaknya.
Kejadian pada pukul 7.45 pagi itu telah mengakibatkan trafik di kawasan tersebut sesak ketika orang ramai sedang keluar ke tempat kerja.
Bagaimanapun, bongkah itu kemudian dialihkan dan trafik kembali lancar.- K! ONLINE.