JAKARTA – Seorang penjual bakso di Indonesia meruntun hati netizen apabila gambarnya sedang menjual hidangan tradisional itu sambil menggendong anak tular di media sosial, lapor Suara.com, baru-baru ini.
Menurut kapsyen gambar yang dimuat naik di laman Instagram @igtainmentt itu, penjual bakso itu terpaksa membawa bayi lelakinya ketika berniaga kerana isterinya dipercayai lari dari rumah.
“Kasihan melihat pengorbanan seorang ayah yang sanggup menggendong anak ketika bekerja gara-gara isteri lari meninggalkan mereka berdua.
“Jika anda terjumpa gerai pak cik ini, belilah baksonya sebagai tanda sedekah,” tulis pemilik akaun Instagram.
Muat naik tersebut menyatakan bahawa penjual bakso itu selalu berniaga di sekitar Jalan Swadaya Perusahaan Listrik Negara (PLN) Klender Jakarta Timur.
Lelaki itu menjual bakso sambil menggendong anak di belakang menggunakan kain lusuh.
Selesai berniaga, penjual bakso ini akan menolak gerai baksonya bersama-sama anak yang dikendong untuk pulang ke rumah.
Melihat keterangan gambar itu, netizen mula membanjiri ruangan komen dengan doa buat penjual bakso.
“Besar sungguh pengorbanan seorang bapa untuk membesarkan anak. Sampai hati isterinya yang meninggalkan suami dan anak sendirian,” komen seorang pengguna media sosial.
“Supaya penjual bakso ini dimurahkan rezeki dan jualannya sentiasa habis setiap hari,” tulis seorang lagi. – Agensi