MANAMA, Bahrain – Pelumba veteran pasukan Alpine, Fernando Alonso percaya beberapa pasukan kurang ternama berpotensi untuk mencipta kejutan menjelang aksi pembuka tirai Formula Satu (F1) pada Grand Prix (GP) Bahrain pada minggu ini.
Sebagai rekod, tiga pasukan yang dianggap bukan pilihan pada kempen musim ini, McLaren, Alpine dan AlphaTauri berjaya mempamerkan kepantasan yang cukup jitu sepanjang sesi ujian pramusim yang lepas.
Kata Alonso, sekiranya pasukan-pasukan tersebut termasuk Alpine berjaya mempamerkan rentak konsisten, tidak mustahil akan ada kejutan yang berlaku khususnya ketika sesi kelayakan GP Bahrain yang akan berlangsung Sabtu ini.
“Saya rasa pasukan telah mempamerkan prestasi yang cukup memberangsangkan pada sesi ujian pramusim yang lepas dengan kami sebagai pemandu dapat meraih minit pemanduan yang sangat banyak.
“Ia memberi keyakinan tambahan buat kami dan saya sangat tidak sabar untuk melihat apa yang akan berlaku pada saingan GP Bahrain minggu ini. Tidak keterlaluan untuk saya katakan mungkin bakal ada kejutan akan berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, pelumba berusia 40 tahun itu mengakui tidak sabar untuk beraksi pada perlumbaan F1 pertamanya sejak berehat hampir dua tahun.
“Saya sudah bersedia secara mental dan fizikal untuk mengharungi saingan musim ini. Banyak perkara yang sudah saya pelajari sepanjang tidak bersaing dalam kejohanan F1 tetapi tiada siapa yang boleh menafikan motivasi saya untuk memberi yang terbaik kali ini,” kata juara dunia dua kali itu lagi. – AGENSI