KUANTAN – Seramai 76 mangsa daripada 28 keluarga di daerah ini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara semalam selepas rumah mereka dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak Isnin lalu.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, kesemua mangsa yang dipindahkan melibatkan Kampung Pandan dan Kampung Sungai Pinang di sini.
“Pada pukul 7.30 malam semalam, kita menerima maklumat kawasan rendah dilimpahi air Sungai Kuantan dan sejumlah rumah penduduk telah dinaiki air.
“Sehubungan itu, operasi menyelamat dan memindahkan mangsa-mangsa ke tempat selamat telah dilaksanakan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Che Adam semua mangsa dari Kampung Pandan ditempatkan di Dewan Mat Kilau serta Dewan Serba Guna Kampung Pandan manakala mangsa banjir di Kampung Sungai Pinang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara Sungai Pinang.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi meramalkan tiga daerah di negeri ini iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin akan terus mengalami hujan lebat sehingga esok.
Jabatan itu turut mengeluarkan amaran cuaca peringkat waspada bagi daerah Maran dekat sini serta Kemaman, Terengganu.
Selain itu, amaran cuaca waspada turut dikeluarlan di dua daerah di Johor iaitu Mersing dan Kota Tinggi.-K! ONLINE.