Oleh ZULKIFLI MANZOR, AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI dan MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Keputusan kerajaan memansuhkan syarat i-Sinar pada 8 Mac lalu membolehkan berjuta-juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan duit simpanan masing-masing untuk pelbagai keperluan.
Situasi itu menyaksikan KWSP meluluskan sebanyak RM52.48 bilion di bawah skim i-Sinar dengan RM32.74 bilion telah dikreditkan ke dalam akaun pemohon setakat 14 Mac lalu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kelulusan itu membabitkan kelulusan bagi 5.94 juta pemohon.
Kata, bermula 8 Mac lalu, kelayakan permohonan kemudahan i-Sinar telah ditambah baik bagi membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup.
“Setakat 12 Mac lalu, jumlah pengeluaran kumulatif bagi skim i-Lestari adalah sebanyak RM19.45 bilion membabitkan 5.23 juta penerima.
“Ini menunjukkan peningkatan berbanding RM18.58 billion yang melibatkan 5.18 juta penerima pada minggu sebelumnya,” katanya ketika menyampaikan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-46 secara maya di sini semalam.
Sebelum ini, KWSP memansuhkan syarat permohonan i-Sinar atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pemansuhan syarat i-Sinar itu membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1, tertakluk kepada baki.
Malah, tidak ada sebarang dokumen sokongan perlu dikemukakan dan permohonan akan diproses berdasarkan kelayakan.
Tarikh akhir permohonan i-Sinar adalah pada 30 Jun 2021.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata, setakat 14 Mac lalu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah membantu lebih daripada 18,000 pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM85.96 juta.
Menurutnya, Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Perkeso juga telah berjaya menyalurkan RM366.37 juta kepada lebih 107,000 individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun lepas.
Duit bukan untuk bersuka ria, guna secara berhemah
PETALING JAYA – Keputusan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengeluarkan simpanan mereka adalah disebabkan dua faktor iaitu keperluan mendesak dan ingin membuat pelaburan.
Penganalisis Ekonomi Bebas, Dr. Baayah Baba berkata, sejak wang daripada Akaun 1 dibenar untuk dikeluarkan, beliau mendapati kebanyakan kedai emas penuh dengan pelanggan yang mahu membeli barangan kemas sebagai pelaburan.
“Pencarum perlu sedar bahawa wang itu sebenarnya dana untuk kegunaan hari tua tetapi telah didahulukan dalam keadaan mendesak.
“Mereka dinasihatkan supaya menggunakan wang itu dengan berhemah. Memang benar itu wang mereka dan mereka sendiri yang tentukan bagaimana ia akan digunakan. Namun, duit itu bukan untuk tujuan bersuka ria,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Jalilah Baba pula berkata, wang Akaun 1 yang telah dibelanjakan memberi kesan positif untuk meningkatkan ekonomi negara.
Bagaimanapun, katanya, orang ramai perlu beringat wang itu perlu dibelanjakan atau disalurkan kepada perkara yang benar-benar bermanfaat.
“Sebagai contoh, wang itu mungkin wajar diletakkan dalam tabungan yang difikirkan lebih menguntungkan atau lebih mudah untuk mereka kawal.
“Saya tidak fikir orang ramai akan berbelanja secara sesuka hati dan membazir. Mereka tahu wang ini bukan mudah untuk diperoleh,” katanya.
Dalam pada itu, seorang kakitangan swasta dikenali sebagai Fakri, 26, berkata, duit pengeluaran i-Sinar yang diperoleh sebelum ini telah digunakan untuk persiapan majlis perkahwinannya.
Katanya, dia menggunakan sebahagian duit i-Sinar untuk membeli barang-barang hantaran bagi majlis perkahwinannya yang berlangsung di Machang, Kelantan.
“Saya bersyukur kerana KWSP meluluskan permohonan i-Sinar. Sebenarnya kami merancang untuk mengadakan majlis pada hujung tahun ini,” katanya.
Bagi Mohd. Razif pula, dia yang menggunakan wang i-Sinar untuk membeli sebuah motosikal baharu bagi kegunaannya sebagai penghantar makanan.
Menurutnya, sebelum ini dia merupakan seorang pemandu e-hailing, namun akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara, dia kehilangan ramai pelanggan.
“Dahulu saya bawa Grab, apabila penularan Covid-19 ramai yang bekerja dari rumah. Mereka yang menggunakan khidmat pemandu e-hailing sangat berkurangan,” katanya. -K! ONLINE