fbpx

41 kluster di institusi pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan sebanyak 41 kluster daripada 811 kluster yang dilaporkan bermula 1 Januari hingga hari ini melibatkan kluster di institusi pendidikan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan sebanyak 2,228 kes iaitu 1,058 kes membabitkan pendidikan tinggi, menengah (631 kes), pra-sekolah dan rendah (419 kes) dan lain-lain (120 kes).

“Daripada 41 kluster tersebut, 15 kluster melibatkan pusat pengajian tinggi, 11 kluster sekolah menengah, 10 kluster pra-sekolah dan sekolah rendah serta lima kluster pusat tahfiz dan madrasah yang dilaporkan dalam tempoh hampir tiga bulan ini.

“Ini termasuklah tiga kluster baharu yang diumumkan pada hari ini iaitu Kluster Paloh Rambai, Kluster Merinding dan Kluster Persiaran Maktab,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, KKM menyambut baik komitmen Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memastikan pelajar tidak ketinggalan dan dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan dalam keadaan yang selamat.

“Oleh itu KKM mengingatkan semua pihak terutamanya pentadbir, guru, ibu bapa atau penjaga, pengusaha kantin, pemandu kenderaan sekolah, serta pelajar untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, nasihat umum KKM perlu sentiasa diamalkan sebelum, semasa dan selepas waktu persekolahan manakala, langkah-langkah pencegahan dan kawalan juga boleh diambil di sekolah.

Ujarnya, ia termasuk pemakaian pelitup muka pada setiap masa, memastikan penjarakan sosial pelajar dan guru, mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap mencucu tangan dengan air dan sabun atau ‘hand sanitizer’ serta menjaga kebersihan persekitaran sekolah.

Selain itu, beliau berkata, semua warga sekolah perlu memastikan mereka sihat dan tidak bergejala semasa hadir ke sekolah.

“Bagi sekolah-sekolah dengan pelaporan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga sekolah, KPM perlu mempertimbangkan penutupan sekolah tersebut dengan segera bagi tujuan sanitasi dan untuk mengelakkan penularan jangkitan kepada warga sekolah yang lain,” katanya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI