SAKHIR – Pelumba Aston Martin, Sebastian Vettel percaya dia akan diberikan masa untuk memastikan pasukan itu mampu muncul sebagai pencabar utama dalam perlumbaan Formula Satu (F1) bagi tempoh lima tahun lagi.
Pelumba Jerman itu kini menjadi pelumba keempat paling tua dalam saingan apabila kekal menyertai perlumbaan berkenaan pada usia 33 tahun dan belum bersedia untuk memikirkan mengenai persaraan.
Menjadikan Fernando Alonso dan Kimi Raikkonen sebagai contoh yang sudah berada dalam saingan F1 hampir dua dekad, Vettel mengakui hanya akan memikirkan mengenai persaraan jika Aston Martin sudah mampu menjadi pesaing utama untuk kejuaraan.
“Saya fikirkan begitu. Saya belum terlalu tua dan tiada kaitan dengan faktor usia.
“Persoalannya adalah mengenai jentera dan pasukan. F1 selalunya begitu. Beberapa tahun lalu, Mercedes sentiasa mendominasi perlumbaan.
“Untuk menguasai perlumbaan, anda memerlukan tempoh yang panjang. Jika Mercedes dijadikan contoh, kita akan lihat bagaimana mereka menyediakan asas sejak 2011 termasuk penggunaan teknologi baharu.
“F1 sedang melalui fasa perubahan. Setiap orang berharap persaingannya kembali sengit.
“Kita akan tunggu dan lihat bagaimana sukan ini akan berubah pada tahun-tahun akan datang. Saya fikir peluang untuk saya masih ada dan panjang,” jelasnya. – AGENSI