PUTRAJAYA – Tiada sebarang bukti kukuh yang dapat mengaitkan vaksin Covid-19 AstraZeneca dengan risiko berlakunya kes-kes kesan sampingan penggumpalan darah setelah menerima suntikan vaksin tersebut sekali gus menunjukkan ia selamat digunakan di negara ini.
Ia antara penjelasan yang dimaklumkan pihak syarikat AstraZeneca Sdn. Bhd. dalam satu perjumpaan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 17 Mac lalu bagi memberi pencerahan situasi sebenar berkenaan isu keselamatan vaksin Covid-19 AstraZeneca terutamanya berkaitan dengan kesan sampingan penggumpalan darah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pihak syarikat turut memaklumkan bahawa jumlah kes penggumpalan darah yang dilaporkan juga adalah jauh lebih rendah berbanding dengan purata kes yang dijangka berlaku dalam saiz populasi melibatkan 17 juta orang awam.
Beliau berkata, kesimpulan berhubung keselamatan vaksin berkenaan juga disokong oleh pihak European Medicines Agency.
“Menurut pihak syarikat, setakat 8 Mac lalu, sebanyak 17 juta orang awam telah menerima vaksin Covid-19 AstraZeneca di sekitar Kesatuan Eropah dan United Kingdom.
“Dalam kalangan penerima vaksin ini, hanya terdapat 15 kes deep vein thrombosis (DVT) dan 22 kes pulmonary embolism telah dilaporkan sekali gus merumuskan bahawa vaksin Covid-19 adalah selamat digunakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Adham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum isu status keselamatan penggunaan vaksin Covid-19 AstraZeneca yang tular di luar negara.
“KKM ingin memaklumkan bahawa vaksin Covid-19 AstraZeneca Solution for Injection (MAL21036009ACZ) daripada pemegang pendaftaran AstraZeneca Sdn. Bhd. yang telah didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac lalu adalah selamat untuk digunakan di Malaysia,” katanya. -K! ONLINE