fbpx

Siti jenamakan anak sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NURHALIZA

USIA Siti Aafiyah baru sahaja genap tiga tahun pada 19 Mac lalu, bagaimanapun ibu bapanya, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K sudah merencana empayar perniagaan sebagai legasi untuknya.

Sebagai permulaan, Siti melancarkan rangkaian produk kanak-kanak menerusi BeauKids. Produk pertama yang diperkenalkan ialah minuman jeli berkhasiat BeauKids Aafiyah.

Seperti nama produk tersebut, Aafiyah diangkat menjadi duta produk yang menjalinkan kerjasama dengan WonderLab.

“Empayar perniagaan ini adalah legasi yang saya ingin teruskan supaya anak-anak juga terlibat dalam perniagaan pada masa depa

“Saya mahu mereka tahu selain sebagai seorang penyanyi, saya juga usahawan dan menggalakkan mereka mengikut jejak yang sama.

“Sejak kecil saya tahu berniaga kerana membantu ibu menjual kuih. Aafiyah pula berniaga minuman kesihatan berperisa strawberi ini,” ujar Siti yang ditemui pada majlis pelancaran produk BeauKids di Cyberjaya baru-baru ini.

SITI dan suami, Datuk K tidak terfikir untuk melepaskan Aafiyah menjadi duta mana-mana produk yang bukan bawah CTDK Holding.

Dedah Siti, bagi produk minuman kesihatan bebas gula itu Aafiyah terlibat secara langsung antaranya dalam pemilihan perisa.

“Saya beri Aafiyah pilih daripada pelbagai perisa buahan dan dia memilih strawberi.

“Dia suka dengan minuman ini dan paling penting selamat untuk kanak-kanak kerana diperbuat daripada puri strawberi tanpa gula dan perasa tiruan,” ujar Siti mengenai produk minuman kesihatan kanak-kanak yang dijual pada harga RM59 sekotak yang mengandungi 10 pek setiap kotak.

Sungguhpun masih kecil, Aafiyah sudah terbiasa di depan lensa kamera menjalani penggambaran untuk pelbagai projek.

Sebagai ibu, Siti bersyukur kerana Aafiyah mudah memberi kerjasama setiap kali penggambaran dilakukan.

“Saya ada terangkan kepada Aafiyah bahawa dia sedang bekerja, tetapi mengikut cara dan pemahaman kanak-kanak. Penjaganya yang banyak membantu mendidik dan setiap kali Aafiyah terlibat dalam penggambaran kerja jadi mudah.

“Kanak-kanak memang tidak boleh dipaksa, tetapi ada caranya untuk memujuknya dan Aafiyah cukup mudah mengikut arahan dan mampu melakukan apa sahaja,” tutur Siti mengenai anak sulungnya itu.

MELANTIK dan mencipta jenama sendiri untuk Aafiyah, Siti berharap anaknya dapat mewarisi legasi perniagaan yang ditinggalkannya apabila dewasa nanti, – FARIZ RUSADIO

Ditebak soalan, jika ada pihak lain berminat melantik Aafiyah sebagai duta produk, Siti dan Datuk K sebulat suara menetapkan Aafiyah sebagai hak eksklusif mereka sebagai ibu bapa dan pemilik CTDK Holdings.

Bukan mahu menolak rezeki, tetapi Siti dan suami mahu anaknya berkembang secara normal seperti kanak-kanak lain.

“Aafiyah kini bawah CTDK Holdings. Paling penting ialah perkembangannya. Soal menjadi duta produk jenama lain, kami tidak fikirkan lagi.

“Buat masa sekarang, kami dalam proses mengeluarkan beberapa produk menggunakan nama Aafiyah.

“Buat masa ini biarlah Aafiyah menjadi hak eksklusif ibu bapanya terlebih dahulu,” kata Datuk K.

SEDANG melalui trimester ketiga kehamilan, Siti tetap bendebar untuk menanti kelahiran anak lelakinya menjelang April nanti.

Anakanda

Selain perniagaan, Siti kini dalam proses menghasilkan sebuah album termasuk sebuah lagu khas untuk anak keduanya.

Apa yang dilakukannya kini sama seperti yang berlaku ketika kehamilan pertamanya dahulu.

Seiring usia kehamilan lapan bulan dan dijangka melahirkan seorang anak lelaki pada bulan depan, Siti kini menanti hari untuk melancarkan single berjudul Anakanda.

Berbeza dengan lagu Comel Pipi Merah yang memiliki melodi lagu Can Mali Can, Anakanda mempunyai lebih banyak elemen kemelayuan dan mengambil melodi lagu Ikan Kekek .

Lagu Anakanda akan dimuatkan dalam album penuh lagu kanak-kanak nyanyian Siti yang bakal dilancarkan pada 1 April depan.

Buat masa ini, Siti melancarkan dahulu Medley Klasik Siti 1 yang mengandung beberapa buah lagu popular kanak-kanak seperti Buat Laju-Laju, Tepuk Amai-Amai, Suriram dan Bunga Matahari.

Dedahnya, bukan mudah untuk menjalani rakaman lagu dalam keadaan sarat hamil apatah lagi sebelum memasuki studio, Siti sudah jarang menyanyi.

SITI AAFIYAH bakal menjadi kakak sedikit masa lagi.

“Jika mahu membuat rakaman di studio, saya perlu menyanyi setiap hari supaya peti suara berada dalam keadaan baik dan bersedia.

“Ini tidak. Saya masuk studio dan terus menyanyi, masalah utama ialah pernafasan dan terpaksa mengambil masa agak lama.

“Namun, saya menyanyi mengikut kemampuan dan tidak terlalu memaksa kerana sudah begitu sarat. Alhamdulillah, dalam masa tiga hari, enam buah lagu dapat disiapkan.

“Saya rasa mudah sebab menyanyikan lagu kanak-kanak, tetapi tetapi apabila masuk studio nafas tercungap-cungap.

“Ditambah dengan susunan muzik yang baharu, jadi memang agak mencabar,” luah penyanyi berusia 42 tahun itu ceria.

Kesemua lagu yang dipilih merupakan lagu kegemarannya ketika kanak-kanak sewaktu tinggal di berek polis Kuala Lipis, Pahang.

Bukan sahaja ingin mengangkat lagu-lagu lama, Siti juga mahu anak-anaknya mengenali lagu-lagu zaman dahulu.

Penyanyi Anta Permana berharap album tersebut dapat memberi impak positif bagi membantu perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak menerusi lagu.

SELEPAS Comel Pipi Merah dihasilkan semasa Aafiyah dalam kandungan, Siti kini merakamkan sebuah lagu istimewa berjudul Anakanda, khas untuk anak keduanya yang dijangka lahir April
nanti.

Trimester ketiga

Sepanjang majlis berkenaan terlihat keadaan Siti yang sudah begitu sarat. Beliau lebih banyak duduk daripada bergerak, bagaimanapun jelas Siti keadaan kesihatannya dan bayi berada dalam keadaan baik.

“Insya-Allah saya akan bersalin pada bulan depan tidak lama sahaja lagi. Saya sudah melakukan pemeriksaan terakhirnya untuk melihat perkembangan bayi dalam kandungan. Syukur bayi membesar dengan sihat.

“Sejujurnya, saya tidak sangka akan bekerja dan mengadakan majlis pada hujung kehamilan ini. Saya sudah pesan awal-awal kepada pihak pengurusan pada penghujung kehamilan saya mahu berehat. Namun, saya tidak boleh menolak rezeki.

“Saya juga telah selesaikan semua kerja sebelum bersalin, selepas ini saya akan berehat panjang (berpantang). Doakan agar semuanya dipermudahkan,” ujar Siti memohon doa.

Sementara itu, Siti juga menjawab isu disekat oleh penyanyi Aishah dalam Instagram.

Dengan jumlah 8.1 juta pengikut dalam Instagram, Siti mengakui langsung tidak menyedari situasi tersebut sehingga terbaca berita mengenainya.

“Manalah ada masa hendak memeriksa Instagram. Patutlah sebelum ini saya tidak jumpa akaun Instagramnya.

“Bagi saya perkara ini bukan isu besar dan tidak perlu diperbesarkan. Biasalah kadangkala saya sendiri tersekat orang.

Jadi, ini perkara biasa. Apa yang penting kita saling menghargai,” ucap Siti menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI