fbpx

Duduk ‘resort’ tapi angkut air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA penduduk menunjukkan tong dan bekas simpanan air yang kosong apabila SADA gagal menghantar bekalan air di Harvard Suasana Resort, Bedong, Sungai Petani semalam.

SUNGAI PETANI – Lebih 250 penduduk di Harvard Suasana Resort (HSR) di Bedong di sini kecewa dengan Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang gagal menghantar bekalan air bersih selepas berlaku gangguan air di kawasan tersebut sejak Jumaat lalu.

Penduduk mendakwa masalah gangguan bekalan air itu telah dilaporkan kepada SADA, namun tiada tindakan diambil sehingga menimbulkan kesulitan kepada penduduk untuk menjalani kehidupan seharian.

Keadaan tersebut menyebabkan penduduk terlibat terpaksa membeli dan mengangkut air dari luar taman perumahan tersebut untuk kegunaan harian.

Pengerusi Persatuan Penduduk HSR, Razaman Abd. Ghani, 59, berkata, masalah gangguan bekalan air di taman perumahan ini telah dilaporkan kepada SADA dan meminta bekalan air bersih dihantar segera untuk kegunaan harian penduduk.

Bagaimanapun, katanya, sehingga semalam pihak SADA masih tidak menghantar bekalan air walaupun gangguan telah berlarutan sejak Jumaat lalu.

“Penduduk di sini kesal apabila mereka memberikan pelbagai alasan seperti ketiadaan lori dan bekalan air dihantar ke kawasan lain terlebih dahulu.

“Pihak SADA sepatutnya sentiasa bersiap sedia pada setiap masa untuk menghantar bekalan air selepas menerima laporan gangguan bekalan air di kawasan-kawasan terlibat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang suri rumah, Khairani Mohd. Kassim, 46, berkata, dia menghadapi banyak kesulitan berikutan tiada bekalan air dalam tempoh yang agak lama ini lebih-lebih lagi mempunya empat anak yang masih bersekolah.

“Selain kegunaan membasuh baju, pinggan mangkuk, bekalan air juga penting untuk anak-anak mandi sebelum dan sewaktu pulang dari sekolah,” ujarnya.

Seorang peniaga, S. Raja Kumaran, 65, pula berkata, dia terpaksa ke rumah saudaranya di Sungai Petani untuk mandi dan mendapatkan bekalan air setiap hari.

“Sepatutnya SADA prihatin menghantar bekalan air walaupun hanya sekali sahaja sehari untuk kegunaan penduduk,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI