SAKHIR – Pelumba pasukan Red Bull, Max Verstappen menegaskan, mereka tidak boleh meletakkan diri sebagai pasukan pilihan menjelang saingan musim baharu Kejuaraan Dunia Formula Satu (F1).
Kata pelumba dari Belanda itu, ia satu perkara ‘bodoh’ sekiranya mereka yakin mampu menjadi juara berdasarkan prestasi jentera pada sesi ujian pramusim.
Jentera RB16B menunjukkan prestasi yang cukup cemerlang pada ujian pramusim apabila Verstappen muncul sebagai pemandu terpantas sepanjang tiga hari saingan.
“Apa yang pasti kami menunjukkan hasil positif pada sesi ujian, lebih-lebih lagi ia beri peluang kepada kami untuk memahami kemampuan jentera.
“Bagaimanapun, bagi saya pasukan Mercedes masih lagi pilihan kerana mereka memenangi kejuaraan dunia tujuh kali berturut-turut. Saya fikir amat bodoh jika kejuaraan ditentukan ketika sesi ujian pramusim,” kata Verstappen.
Pelumba berusia 24 tahun itu juga mengakui sudah tidak sabar untuk beraksi pada perlumbaan sulung musim 2021 pada Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Bahrain hujung minggu ini.
“Saya tidak sabar untuk lihat kemampuan semua jentera pada sesi kelayakan nanti. Saya amat gemar berlumba di litar ini, jadi saya sungguh teruja untuk kembali beraksi,” ujarnya. – AGENSI