KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan dalam kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memohon untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menuntut pihak pendakwaan mengemukakan beberapa penyata perbankan dan dokumen lain yang berkaitan kepada pasukan pembelaannya.
Menerusi notis usul berkenaan, Najib memohon untuk mendapatkan penyata bank yang dipercayai ada kaitan dengan ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Gabenor (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.
Antara dokumen yang dipohon itu adalah daripada syarikat Aktis Capital Singapore Limited, Country Groups Securities Public Companies, ACME Time Limited (BVI), Butamba Investment Limited dan Central Holding Limited serta beberapa lagi dokumen berkaitan.
Terdahulu ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, pihaknya membuat permohonan itu, hari ini.
Berdasarkan afidavit sokongan itu, Najib, 67, mendakwa beberapa syarikat yang disenaraikan itu dipercayai berhubung kait dengan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan keluarga bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.
Najib berkata, dokumen itu sangat penting untuk pasukan pembelaannya dalam perbicaraan 1MDB yang dikenakan ke atasnya.
Selain penyata bank, Najib juga turut memohon pernyataan identiti pemilik benefisial syarikat, daftar anggota, daftar pengarah serta surat-menyurat antara bank dan syarikat berkenaan urus niaga.
Ia termasuk e-mel, pemindahan telegrafik, borang pengiriman wang, nasihat pembayaran, laporan transaksi, pesanan pembayaran, nasihat kredit dan memo bank.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi mengesahkan pihak pendakwaan telah menerima permohonan itu hari ini.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mac ini untuk sebutan semula bagi permohonan itu.- K!ONLINE