fbpx

Makmal pil ekstasi bernilai RM11.8 juta dibongkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sahabudin (dua dari kiri) pada sidang akhbar di IPD Seberang Perai Tengah, Bandar Perda di Bukit Mertajam hari ini.

SEBERANG PERAI – Sindiket memproses pil ekstasi bernilai RM11.8 juta tumpas selepas polis menahan tiga lelaki di Permatang Pauh di sini dan Sungai Petani, Kedah, Isnin lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, kegiatan itu terbongkar selepas pihaknya menyerbu sebuah kawasan perumahan elit di Taman Pauh Jaya di sini kira-kira pukul 9.30 pagi.

“Dua suspek yang cuba melarikan diri telah merempuh kereta pasukan serbuan dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Range Rover Evoque sebelum mereka yang berusia 33 dan 37 tahun ditahan di Taman Sutera, Seberang Jaya.

“Hasil tangkapan itu, polis memeriksa sebuah rumah di Taman Pauh Jaya dan menemui dadah bersama peralatan memproses dan mesin membuat tablet,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bandar Perda di sini sebentar tadi.

Sahabudin berkata, susulan tangkapan itu, seorang lelaki berusia 30 tahun yang merupakan adik kepada salah seorang suspek ditahan pada pukul 5.30 petang pada hari sama di Sungai Petani.

Beliau menambah, hasil serbuan itu, pihaknya membuat rampasan dadah dan beberapa peralatan yang bernilai lebih RM11.8 juta.

“Antaranya adalah kira-kira 170.3 kilogram (kg) serbuk ekstasi bernilai RM10.2 juta, 23.6 kg pil Ekstasi (RM1.4 juta), 3,500 biji pil Eramin 5 (RM52,500) dan 22 gram ganja (RM1,000).

“Selain itu, turut dirampas adalah 25 kg serbuk kafein (RM8,500), 10 liter cecair alkohol dan tiga unit mesin tablet (RM12,000) bersama enam buah kenderaan mewah, sebuah motosikal jenis Kawasaki Z800 dan barang kemas,” katanya lagi.

Menurutnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI